Tuesday, April 6, 2010

SAYANG ibubapa......

Assalamualaikum....

Menulis aje kerjanya...Mungkin itulah ayat perli yang sesuai diajukan kepada saya. Sejak kebelakangan ini, emosi agak tidak stabil. Jadi ubatnya saya kenalah menulis. Menulis memang seronok bagi saya. Sehinggakan saya bercita-cita untuk menghasilkan sebuah novel ataupun sebuah buku pada masa akan datang. Doakan saya. Allahumma AMIINN...

Saya nak bercerita tentang kedua ibubapa. Entri sebelum ini saya ada menceritakan tentang tarbiyah Cinta. Kali ini saya mahu meluahkan rasa cinta dan kasih sayang saya kepada kedua ibubapa saya pula. Saya panggil mereka dengan panggilan emak dan ayah. Saya sangat bersyukur dikurniakan mak yang sangat baik. Bagi saya, beliau merupakan emak yang terbaik di atas muka bumi ini. Begitu juga ayah saya. Juga ayah terbaik di atas muka bumi ini.

Mak bersifat sangat penyabar dan adakalanya cerewet. Tapi dek kerana sifat itulah maka lahirnya saya yang semacam ini perangainya. Dan mak selalu menasihati saya untuk menjadi lebih baik. Berlainan pula dengan ayah saya. Ayah seorang yang garang dan sangat tegas. Setiap tindak-tanduk ayah sangat berdisiplin. Kami semua seramai 7 adik-beradik banyak belajar tentang disiplin daripada ayah.

Hendak dijadikan cerita. Saya lebih mudah bermanja dengan mak. Biasalah anak lelaki selalunya baik dengan mak. Mak selalu bercerita macam-macam dengan saya. Sehinggalah cerita tentang mimpi emak ketika beliau melaksanakan haji. Ketika itu, umur saya baru 7 tahun. Mak bermimpi berjumpa saya yang pada ketika itu sedang belajar Al-Quran bersama dengan sheikh di Masjidil Haram. Lalu, mak memanggil ;"Ya Muzakkir, anakku". Dalam mimpi emak itu, saya berpaling dan melemparkan senyuman pada emak. Lantas mak berdoa, jadikanlah mimpiku ini satu kenyataan. Saya mendengar cerita emak itu dengan penuh hiba. Adakah saya semulia itu? Walhal diri ini sangat teruk. Cuma di depan emak sahaja saya umpama pijak semut tak mati.

Mak sentiasa mendoakan saya menjadi anak yang soleh. Tapi usaha dalam diri saya pula bagaimana?....Ayah juga begitu. Ayah mendidik saya serta adik beradik yang lain untuk bangun qiyamullail dan solat berjemaah di surau. Saya terharu dengan usaha baik mereka. Di kala akhir zaman ini, masyarakat sudah kurang ke arah Islam, namun mak dan ayah masih mampu memberikan asuhan dan didikan yang saya kira sudah cukup sempurna. Terima kasih mak dan ayah. Saya sayang kalian.

Cuma kadang-kadang saya sedih dan kecewa dengan diri sendiri. Adakah saya sudah layak menjadi anak yang soleh? Anak yang bisa mendoakan ibubapa apabila ketiadaan mereka kelak? Anak yang mampu memberikan manfaat kepada mereka. Anak yang soleh serta mewariskan keturunan yang soleh? Layakkah saya bergelar anak soleh? Tepuk dada tanya iman (tuju khas buat diri sendiri dan untuk pembaca sekalian). Sedarkah kita penat lelah dan pengorbanan ibubapa kepada kita. Mampukah kita membayarnya?

Mungkin pernah sesekali terdetik di sudut hati kita marah pada kedua ibubapa kita. Betul tak? Bila difikirkan semula, layakkah kita terlintas sedemikian rupa? Abang saya seorang abang yang baik. Saya pernah mengambil hati dengan tindakan abang saya. Lalu abang saya datang memujuk dengan berkata; "Akir, sabar je la. Niat ayah baik. Untuk kebaikan akir juga. Lagipun layak ke kita nak marah ayah? Darah dalam diri kita tu mengalir darah sapa? Kita anak kenalah banyak bersabar".

Saya agak terharu dengan kata-kata abang saya itu. Teringat pada suatu ucapan seorang ulama'(saya tidak pasti hadis or kata-kata hikmah) bahawa jika terdetik walaupun sedikit rasa tidak puas hati atau rasa benci pada kedua ibubapa kita, maka jatuh hukum anak derhaka kepada individu tersebut. Wallahu a'lam. Mungkin itu pendapat ulama' itu saja. Pendapat yang agak syadid. Atau mungkin memang sebuah hadis.

Ketika masa atuk saya menemui Yang Maha Esa dahulu, mak sempat mengeluarkan kata-kata nasihat. Ibu dan bapa ni ada satu je dalam dunia. Kalau ibubapa sudah tiada, maka tiada orang yang boleh menjadi pengganti. Berbeza dengan pasangan hidup (suami atau isteri). Hilang pasangan itu pengganti pasti ada lagi. Jadi, sementara ibubapa masih hidup ni la masa nak buat bakti kepada mereka sebaik mungkin. Berkaca-kaca mata saya ketika mendengar ucapan itu. Terharu. Saya sayang mak dan ayah.

Firman ALLAH Taala dalam Surah Al-Isra' ayat 23 yang bermaksud;
23. Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Firman ALLAH Taala juga dalam Surah uqman ayat 14 yang bermaksud;
14. Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyusunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.

Begitulah sedikit sebanyak perkongsian untuk kali ini. Sungguh saya kata. Saya bukan seorang ustaz yang banyak ilmunya untuk mengajar kepada orang lain. Sebaliknya saya hanya mampu untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang saya ada. Mudah-mudahan dengan ilmu yang sedikit ini mampu menjadikan saya insan yang sentiasa mengamalkan ilmu di dada. Wallahu a'lam.



1 comment:

  1. assalamualaikum..
    bagus post kali ni..mengingatkan diri untuk tak lupa org yang banyak berjasa. perlu ingat sentiasa, walau seburuk mana pun ibu bapa itu, mereka tetap ibu dan bapa kita. bab dosa dan pahala, itu urusan mereka dengan Allah, tetapi sbg anak, kita wajib melayan mereka dengan baik dan terbaik. ingt semula kisah zaman Nabi au sahabat..yg ibu bapanya menjadi khinzir..wallahu A'lam..

    ReplyDelete