Wednesday, April 21, 2010

jangan salahkan mereka....

Assalamualaikum....

Tajuk tulisan saya kali ini 'jangan salahkan mereka....' sangat berkaitan dengan isu yang barangkali boleh dikira sensitif terutama di kalangan belia masa kini. Hatta sensitif juga buat rakan-rakan yang seumur dengan saya. Ini berkaitan isu ROKOK yang menjadi satu perkara yang boleh dikira serius di dalam negara.

Ya, saya akui bahawa ekonomi negara Malaysia mengaut keuntungan dalam mengenakan cukai penjualan rokok. Sehingga seorang rakan saya pernah bergurau begini, ".....perokok sebenarnya membantu meningkatkan ekonomi negara....". Lebih kurang begitulah gurauannya. Tapi di dalam hati, ingin sahaja saya balas, "...benefit untuk ekonomi negara tapi parah pada diri kita sendiri buat apa....". Namun jawapan itu saya simpan buat diri sendiri saja. Jadikan sebagai peringatan.

ALHAMDULILLAH, saya sangat-sangat bersyukur kerana ditakdirkan oleh ALLAH Taala ketika saya masih kecil (sehingga saya sekolah rendah) saya menghidapi satu penyakit di bahagian dada. Pada ketika itu saya agak alah pada keadaan sejuk. Dan sangat alah pada bau asap. (saya tidak pasti apakah jenis penyakit itu, mungkin seperti asma tetapi bukan. Seolah-olah sesak nafas). Sehinggakan waktu pagi nak mandi untuk ke sekolah pun emak terpaksa menjerang air panas. Saya hanya boleh mandi pagi dengan air panas sahaja. Syukur penyakit itu tidak berlaku lagi kini, ALHAMDULILLAH. Apa kaitan dengan penyakit itu tadi?

Kaitannya, saya tidak terhingin sama sekali untuk menjebakkan diri menjadi seorang perokok kerana saya sudah rasa peritnya berada di dalam keadaan sesak nafas (maafkan saya, kerana tiada ilmu dalam perubatan, jadi nama spesifik penyakit itu sendiri saya tidak tahu). Namun begitu, saya tidak mahu memanjangkan tulisan dengan bercerita tentang diri saya sendiri. Saya akan fokuskan dengan apa motif tajuk penulisan ini.

Buat kalian yang mempunyai rakan-rakan yang merokok. Atau anda sendiri yang merokok. Bukan salah mereka @ anda sendiri. Kerana apa saya katakan begini? Bagi mereka yang baru nak mula merokok saya nasihatkan anda awal-awal supaya janganlah cuba-cuba. Kerana anda membahayakan kesihatan dalam keadaan anda sudah mengetahui akibat merokok ini. Situasi ini anda boleh dipersalahkan.

Tapi berbeza bagi perokok tegar yang mula menghisap rokok ketika zaman persekolahan lagi. Golongan ini tidak perlu dipersalahkan seratus peratus kerana anggaplah golongan ini telah melakukan kesilapan di zaman lampau mereka sehingga terjebak menjadi perokok. Manusia sering melakukan kesilapan. Itu kita semua akui bukan? Jadi bagi mereka-mereka ini, anggaplah mereka telah melakukan kesilapan lampau yang membawa mudharat ke hari ini.

Saya pernah bertanya kepada seorang rakan mengapa dia merokok. Adakah dia tak mahuberhenti merokok. Jawapan rakan itu secara jujurnya, dia mahu berhenti merokok. Tapi apakan daya, ketagihan itu sangat sukar dibendung. Dia menambah, ".....mana ada orang suka memudharatkan diri sendiri....cuma kesilapan lalu akibatnya begini lah..". Saya setuju dengan jawapan itu. Namun tetap menasihati rakan tersebut agar berhenti. Dan hasilnya mungkin bukan sekarang. InsyaALLAH akan datang, ALLAHUMMA AMIN. Dia pun sudah semakin kurang merokok. =)

Bagi kita sebagai rakan kepada perokok-perokok, janganlah kita marah dengan apa yang mereka lakukan. Sebaliknya nasihat yang berterusan perlu dilaksanakan. Seperti yang saya katakan tadi, kesilapan lama membawa akibat sehingga kini. Janganlah kita memusuhi kawan kerana rokok. Sebaliknya memusuhi rokok kerana kawan. (selamatkan kawan dari terus merokok). Ianya susah namun bukan mustahil.



Berikut adalah link untuk tatapan kalian semua berkaitan hukum merokok. Menurut Dr Al-Qardhawi, ada 2 hukum menurut pendapat beliau iaitu MAKRUH (bagi mereka yang sudah terjebak) dan HARAM (bagi yang baru hendak mula merokok).klik di sini

Akhir kata :- Setiap pendakwah itu perlulah bersabar dalam menangani masalah mad'u mereka. Anggaplah kesilapan lalu sebagai pengajaran dan berusahalah untuk berubah (peringatan buat diri sendiri juga).

Wassalam

No comments:

Post a Comment