Saturday, April 17, 2010

memandang pada dimensi yang berlainan.....

Assalamualaikum....

Mulakan perbicaraan dengan Menyebut Nama ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG agar setiap tutur bicara kita ini mempunyai faedah dan hikmah serta terhindar dari bicara kosong. ALLAHUMMA AMIN.

Topik yang ingin penulis kupas pada kali ini berkaitan dengan bagaimana cara kita untuk sentiasa berfikiran positif dengan setiap apa yang berlaku. Sesungguhnya saya bukanlah individu yang selayaknya untuk membicarakan akan topik ini. Namun, di atas dasar perkongsian melalui pengalaman dan seterusnya ilmu yang diperoleh sedikit sebanyak daripada para sahabat dan ilmuan. Maka, tercetus niat serta mendapat kekuatan kurniaan ALLAH Taala untuk meneruskan penulisan entry kali ini. ALHAMDULILLAH.

Sesungguhnya kita selaku seorang hamba di atas muka bumi ALLAH ini tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Tidak mungkin wujud di atas muka bumi ini seorang insan yang berkeperibadian yang sempurna daripada sebarang kesalahan. Kerana sifat kesempurnaan itu hanyalah milik ALLAH Taala. Dia sempurna daripada sebarang kelemahan dan kecacatan.

Apabila kita yakin dengan tidak sempurnanya diri manusia ini, pasti kita akan sentiasa muhasabah diri kita, Insya-ALLAH. Mungkin kalian para pembaca pernah terdetik perasaan kecewa atau resah gelisah apabila sesuatu yang tidak baik atau apa yang berlaku tidak seperti yang kita inginkan. Namun, setiap yang berlaku itu sudah barangpasti terselitnya satu hikmah yang tidak mampu ditafsirkan dengan mata kasar kita. Sebaliknya, jika dilihat dengan mata hati yang bersih lagi suci, maka setiap yang berlaku itu pasti akan dirasakan HIKMAH.

Saya bawakan satu contoh yang mungkin pada mata kasar kita fikirkan hal itu adalah satu perkara yang tidak baik. Bayangkan ada sebuah rumah jiran kita dimasuki pencuri (NAU'ZUBILLAHI MIN DZALIK. Minta jauhkan. ALLAHUMMA AMIN). Habis barang-barang yang berharga dicuri oleh pencuri itu. Pada pandangan kita, hal itu mungkin adalah suatu perkara yang buruk. Namun jika didasari dengan pandangan mata hati yang bersih, kita akan mendapat hikmah secara tidak langsung. Bagaimana? Inilah point utama yang ingin saya bicarakan. Melihat dari peristiwa yang berlaku, hikmah yang boleh diambil antaranya adalah :-
1. Sentiasa berwaspada. Berdoa kepada ALLAH Taala agar diberikan keselamatan kepada kita.
2. Sentiasa yakin bahawa kemewahan itu tidak kekal lama. Bila-bila sahaja ALLAH Taala boleh menarik semula kemewahan itu.
3. Sentiasa zuhud dengan dunia. Tidak terlampau menunjuk kemewahan yang kita miliki. (kalau kita tak menunjuk, masakan orang boleh tahu kita ini banyak harta?)
4. Melatih diri untuk bersabar. (ini khusus kepada individu yang mengalami kejadian tersebut)
dan lain-lain yang kalian fikir boleh dijadikan HIKMAH.




Tahukah apa itu hikmah? Hikmah itu adalah Pengajaran. Hikmah itu adalah perkara yang perlu difikirkan. Kerana itulah hikmah disebut hikmah. Ia adalah dari perkataan bahasa arab (hakim = bijaksana). Sebut istilah bijaksana pasti kalian dapat bayangkan bahawa ia berkaitan dengan akal. Hikmah itu ada kaitan dengan akal fikiran. Akal fikiran yang sentiasa memikirkan tentang perkara yang baik bermula dari hati yang bersih. Sebab itulah saya katakan bahawa hikmah dapat diterjemahkan dengan mata hati yang bersih. (Mudah-mudahan kita dikurniakan hati yang bersih. ALLAHUMMA AMIN).

Memang Imam Ghazali pernah menyebut, "BENDA YANG PALING JAUH DARI KITA ADALAH PERKARA YANG TELAH BERLALU....". Tapi ini bukan bermaksud kita tidak mengambil hikmah dari benda yang jauh itu. Kita pernah dengar istilah 'usah toleh ke belakang' atau 'jangan pandang belakang' atau 'usah dikenang peristiwa lalu' dan sebagainya. Sebenarnya istilah-istilah itu tidak berapa tepat bagi mereka-mereka yang berlapang dada untuk menterjemahkan segala hikmah yang ada melalui peristiwa yang telah berlalu. Kita perlu pandang belakang serta muhasabah atau koreksi diri kita untuk memperoleh hikmah. Dan hikmah itulah kita pegang buat pedoman serta pengajaran.



Mungkin di antara kita (kebanyakan kita), pernah mengalami kegagalan dalam sesuatu perkara. Jadi satu kemestian untuk kita melihat kegagalan itu dari sudut dimensi mencari hikmah. Seperti yang sudah saya nyatakan. Hikmah itu pengajaran. Dengan berbekalkan pengajaran itu tadi, kita mampu menjadi lebih baik. (UMAT ISLAM HARUS CEMERLANG HARI INI LEBIH BAIK DARI SEMALAM -lirik nasyid)

Itulah dimensi yang berlainan yang saya jadikan sebagai tajuk untuk penulisan kali ini. Saya bukanlah contoh yang baik untuk kalian ikuti. Kerana saya juga dalam perjuangan untuk mencari segala banyak hikmah setiap apa yang berlaku kepada diri saya. Hendaknya agar perkara yang sama berlaku kepada kalian. Tidak dinafikan kadang-kala kita suka untuk mengambil hikmah dari apa yang berlaku. Justeru itu, kita perlu untuk muhasabah semula diri kita. Mungkin hati kita perlu dibersihkan dengan TAQARRUB ILALLAH (mendekatkan diri dengan ALLAH Taala). Kerana sesungguhnya hati yang bersih bermula dari penjagaan hubungan kita dengan ALLAH Taala.



Sebelum mengakhiri penulisan saya kali ini. Suka untuk saya sampaikan satu pepatah arab buat pembaca-pembaca yang umurnya lebih kurang saya (belia). Pepatah arab itu berbunyi begini :-
"Statiknya air akan merosakkan air tersebut. Dan statiknya pemuda dan pemudi (banyaknya masa lapang tanpa diisi dengan perkara berfaedah) akan merosakkan pemuda dan pemudi itu sendiri."

"Hidup Mati Kerana ALLAH"

Wassalamualaikum.

No comments:

Post a Comment