Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Thursday, May 27, 2010

KISAH MERAH DAN HITAM....



Kisah ini tidak dapat dipastikan akan kebenaran jalan ceritanya. Namun, bagi si penulis, ada baiknya kisah ini dipaparkan buat tatapan pembaca sekalian. Mungkin membosankan dan mungkin juga membantu memperoleh hikmah. Boleh jadi ia sekadar cerpen. Almaklumlah penulis memang suka berimaginasi. Tanpa melengahkan masa, tatapilah sekiranya sudi.

Difahamkan kisah ini berkaitan seorang pemuda yang digelar Merah (M). Kisah si M yang menaruh hati terhadap seorang perempuan yang bergelar Hitam (H). M dan H merupakan kenalan sejak di bangku sekolah lagi. Mereka bersekolah di sekolah beraliran agama. Ketika di alam persekolahan, mereka tidak pernah dikaitkan dalam apa-apa gosip. Mungkin kerana M 'sibuk' dengan peranannya sebagai pembuat kacau di sekolah. Manakala H pula seorang muslimah yang sangat baik, rajin dan proaktif.

M mempunyai satu sikap yang kurang disenangi oleh pelajar perempuan di sekolahnya. Sikapnya yang suka menyusahkan orang lain itu menjadi buah mulut pelajar perempuan di sekolah. Namun, dari sudut pelajar lelaki, sikapnya yang menyusahkan itu tidak membawa kesan apa-apa kerana di sekeliling M lagi ramai golongan yang suka menyusahkan orang. Tidak kurang juga golongan yang membosankan. Sebab itu, dalam ranking pelajar lelaki bermasalah di sekolah, M bukanlah paling top. Tapi di kalangan pelajar perempuan, M sangat menjadi bahan gosip mereka. Kerana apa? Maafkan penulis kerana tugas penulis hanyalah bercerita. Maklumat punca itu tidak termasuk dalam database yang penulis perolehi daripada sumber asal.

Hendak dijadikan cerita, H walaupun seorang pelajar perempuan yang baik, turut terlibat dalam perbualan mengenai M. Sebut sahaja nama M, semua pelajar perempuan termasuk H sendiri kurang menyenanginya. Itulah situasi yang berlaku ketika M dan H di alam persekolahan. Alam persekolahan yang sangat meninggalkan kesan yang mendalam. Buat sesiapa sahaja pasti ada peristiwa-peristiwa yang masih segar di dalam ingatan masing-masing. Ini kisah M dan H.

Satu tahun kemudian, selepas tamatnya zaman persekolahan mereka. M membawa diri ke utara tanah air. Berbekalkan dengan keputusan SPM yang boleh dikira baik, M melanjutkan pengajian di sana. Manakala H pula menyambung pengajian juga berhampiran dengan rumahnya. Barangkali H seorang anak yang manja. Biasalah, H seorang yang baik, cerdas dan proaktif. Mungkin tujuannya menyambung pengajian berhampiran dengan rumahnya agar mudah H menabur bakti kepada ibubapa serta keluarganya.

Seperti biasa, hobi M suka mengganggu orang. Terutama rakan-rakannya yang perempuan. Kerana M mempunyai sikap yang suka mengganggu, jadi diteruskannya walaupun sudah menamatkan alam persekolahan. Diganggunya si Kuning (K), Unggu (U), Pink (P), Kelabu (Ke)dan warna-warna yang lain. Habis diganggu semua-semua mereka itu. Namun, kerana kematangan mereka. Akhirnya M tidak lagi dilayan oleh mereka. Akhirnya sikap itu sedikit sebanyak terbantut. Jadi M tidak lagi mengganggu rakan-rakan sekolahnya lagi.
Diburunya sasaran yang baru.

Rupanya sasaran yang baru juga begitu. Tidak menggemari sikap M si kaki pengganggu itu. Namun, tergerak di hati M untuk kembali mengganggu rakan sekolahnya. Dan kebetulan mangsa ketika itu adalah H. Maka diganggunya H. Niatnya sekadar mahu menyakitkan hati H semata-mata. Namun H ini seorang yang berjiwa tabah, kebal dan sukar digugat. Ganggu punya ganggu akhirnya M yang menyerah kalah. Buat pertama kali M merasakan bosannya ganggu orang. Akhirnya M mengambil peluang untuk berbaik dengan H. Walaupun separuh perasaan M merasakan H pasti tidak akan berbaik dengannya.

Takdir untuk menjadikan cerita ini lebih menarik. M semakin hari semakin senang dengan H. Pada mulanya M merasakan dirinya bukan layak untuk menjadi kawan baik H. Akhirnya, mereka sah menjadi kawan baik. Hanya sekadar kawan. (Ingin penulis ingatkan kisah ini kisah M menaruh perasaan pada H dan bukannya kisah percintaan).

M yang sebelum ini sangat anti-perempuan dan sukar berbaik dengan perempuan akhirnya berbaik dengan H. (Walaupun penulis banyak kali menulis perkataan 'akhirnya' tapi masih belum akhir. Ini adalah teknik penulisan si penulis). Dalam diam rupanya M juga menaruh hati terhadap H. Mungkin H juga begitu. (Tapi mungkin sahaja. Teruskan membaca. Pembaca dinasihatkan menghabiskan pembacaan sebelum membuat kesimpulan).

M mengambil jalan singkat tanpa berfikir panjang. M meluahkan rasa kasihnya itu kepada H. Namun, H seorang perempuan yang solehah. Dia begitu menjaga peribadi dan akhlaknya. Apabila H sedar dirinya telah menyebabkan si M terganggu dan menaruh kasih padanya. Maka dikatakan H kepada M agar hubungan kawan baik itu dihentikan seketika. Kerana bagi H, dia mempunyai pronsip diri sebagai seorang muslimah. Tidak akan sesekali dia menjebakkan diri di dalam cinta terlarang sebelum pernikahan. Dan tidak juga dia menginginkan jiwa seorang lelaki seperti M meletakkan cinta bukan pada tempatnya. Mencintai perempuan melebihi cinta kepada Maha Pencipta. M akhirnya akur dengan prinsip itu. Tamat

(Begitulah kisah Merah dan Hitam ini. Betapa murninya peribadi H. Sekadar renungan bagi mereka yang memahami mesej tersirat. Penulis memohon maaf kepada M dan H sekiranya berlaku sedikit tokok dan tambah semasa menulis kisah ini. Namun mesejnya tidak lari)

Tuesday, June 23, 2009

Nape jual Murah???

"LAIN KALI JUAL MAHAL......",kata-kata Makcik Nor tempoh hari masih terngiang-ngiang di telinga Fizah.

Ada benarnya kata makcik saudaranya itu.

Mengalir beberapa titis airmata gadis itu. Fizah mula terkenang akan kesilapannya yang telah lalu.

*****************

Puan Salmah sentiasa memberi nasihat kepada anaknya,Fizah. Namun, Fizah (bukan nama sebenar) yang ketika ini berusia 19tahun itu masih berdegil tidak mahu dengar cakap.

"Ibu tak faham...remaja zaman sekarang memang macam ni..",

Kata-kata Fizah itu agak kasar serta mengguris hati Puan Salmah. Beliau sering berdoa agar anak gadis sulungnya itu berubah menjadi anak yang Solehah.

Sejak pemergian suami Puan Salmah (Allahyarham Anwar), kehidupan anak-anak beliau semakin sukar untuk dikawal. Kalau dahulunya, Arwah sering memarahi dan menegur anak-anak mereka dengan tegas sehingga anak-anak itu mendengar cakap dan langsung tidak berani berkasar kepada mereka berdua. Namun, kini Puan Salmah tidak mampu untuk bertegas kerana sayangnya beliau kepada anak-anak melebihi segala-gala. Ini juga menjadi asbab mereka sanggup berkasar kepada beliau sendiri

****************

Wang insurans kematian suami Puan Salmah itu digunakannya untuk menampung perbelanjaan mereka anak beranak untuk melaksanakan ibadah Umrah di Tanah Suci. Alhamdulillah, segala perjalanan mereka dipermudahkan ALLAH Taala.

Puan Salmah beserta anak-anak telah berangkat ke Tanah Suci bersama-sama dengan Makcik Nor dan Makcik Linda, kakak Puan Salmah itu sendiri. Mereka adalah adik beradik satu ibu tetapi lain bapa.

****************

Fizah sangat suka bersosial. Dia sanggup menghabiskan masa hujung minggunya itu dengan berfoya-foya bersama teman lelakinya. Sehingga kini, sudah 3 orang lelaki pernah menjadi teman lelakinya. Fizah sememangnya seorang gadis yang cantik. Namun, kecantikan bukan segala-galanya.

Fizah terus hanyut dengan kealpaan. Namun, hanyutnya itu tidak lah sampai dia sanggup menjual dirinya kepada teman lelakinya itu. Cuma berpegangan tangan itu sudah menjadi kebiasaan buat dirinya dan teman lelakinya.

Puan Salmah hanya mampu mengalirkan air mata melihat perubahan sikap anaknya itu. Tidak termampu untuk melakukan apa-apa. Alasannya kerana SAYANG PADA ANAK. Satu alasan yang tidak sesuai untuk diperhujahkan di sini.

Akhirnya, terlintas di kotak fikiran Puan Salmah untuk membawa anak-anak mereka mengerjakan ibadah Umrah. Dengan harapan doa beliau di sana dimakbulkan agar ALLAH memberikan hidayah kepada anak gadisnya itu.

**********************

Tibanya rombongan Puan Salmah dan keluarga di Makkah. Mereka ditempatkan di Makkah Hotel, betul-betul berhadapan dengan Masjidil Haram.

Ketika itu, Fizah mengangkat beg galas merahnya itu.

Tiba-tiba di sapa oleh Makcik Nor, "Fizah, apasal beg kau tuh koyak?"

Fizah pun menjawab, "Alah, biasalah...beg murah senang la koyak...."

Makcik Nor tersentak dengan jawapan Fizah tuh. Lalu beliau berkata, "Macam tu jugak la manusia...kalu jual MURAH, senang la rosak...xbernilai..."

Fizah buat endah x endah jer kata-kata Makcik Nor itu.

*****************

Seperti yang telah dihajati ketika di Malaysia lagi. Puan Salmah sentiasa mendoakan agar ALLAH memberikan hidayah kepada anak gadisnya itu

Hari demi hari. Masa demi masa. Ketika demi ketika.

Tibalah satu hari yang sangat-sangat menjadi sejarah.

Fizah mendapat panggilan telefon dari Kuala Lumpur (ketika itu kebetulan dia ada membawa handphone menggunakan talian antarabangsa)

"Hello, ni Syafiq....Fizah, kita break!!..Awk tuh play girl...banyak sangat foya-foya dengan lelaki. Awak ingat lelaki nak sangat ke perempuan macam awak?", panggilan telefon dari teman lelaki Fizah. kini dia bukan lagi teman lelaki Fizah.

Mengalir air mata Fizah. Teringat dia pada kata-kata Makcik Nor tempoh hari. Benar kata Makcik Nor. Perempuan mahupun lelaki yang menJUAL MURAH mudah rosak. Kata-kata Syafiq itu benar-benar menyedarkan Fizah.

Akhirnya, Fizah bertaubat. Alhamdulillah, Tanah Suci Makkah menjadi saksi perubahan dirinya kepada yang lebih baik.

Friday, March 27, 2009

Betul kata UMMI...(akhir)

“Woi Mus, bangunlah...kau taknak pergi kelas ke?”, tiba-tiba aku dikejutkan dengan suara jeritan seseorang. Itulah suara Megat, sahabat karibku sejak aku mula-mula melangkahkan kaki ke Kolej Matrikulasi Johor ini. Megat sememangnya orang yang sangat prihatin padaku. Dia selalu menasihati aku ketika mana aku terasa ‘keberatan’ untuk menghadiri kelas.

“Kau tanda kehadiran aku boleh tak?, aku rasa macam tak sedap badan la..macam tak sehat..”, aku berkata kepada Megat.
“Hah, kau jangan nak ngada-ngada...hari-hari je tak sehat...Semalam kata tak sehat jugak...tapi bila selisih dengan Maisarah, terus segar-bugar...apa kes?”, Megat mula mengusik.
“Itu sumber kekuatan aku kat sini..haha”,
“Mengarut jer, dahlah jom pergi kelas....”, Megat memotong kata-kata aku.

Maisarah, seorang gadis bertudung labuh yang berasal dari Pulau Pinang itu sangat manis pada pandanganku. Dia bekas pelajar Sekolah Agama Almasyur Perempuan di Pulau Pinang. Aku mula mengenalinya sejak awal sem 1. Ketika itu aku menyertai Pertandingan Sajak Kemerdekaan yang dikendalikan oleh Praktikum Hayat 32, iaitu praktikum Maisarah sendiri.

Hari seterusnya, aku sering ternampak Maisarah serta rakan-rakannya yang lain berjalan kaki ke masjid matrikulasi ketika waktu Maghrib untuk bersolat di sana. Hatiku mula terpaut pada keredupan wajahnya. Barangkali inilah yang dikatakan cinta. Cinta pandang pertama. Hal ini juga membangkitkan semangat aku untuk datang ke masjid pada waktu Maghrib. Hanya pada waktu maghrib sahaja.

Setiap hari selepas kelas, aku dan Megat pasti akan ke Dewan Seri Ledang dengan tujuan untuk bermain badminton. Di situ lah tempat aku dan Megat beradu tenaga untuk membuktikan kehebatan masing-masing. Seperti kebiasan juga, aku pasti akan meminta diri awal untuk bersiap solat maghrib secara berjemaah di masjid. Megat mengakui akan kerajinanku itu. Dia turut mengikuti jejak langkahku bersembahyang di masjid. Namun, niat di sudut hati tiada siapa yang tahu.

***************

Selepas aku membuat keputusan untuk menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi Johor, ummi dan abah melihat sedikit perubahan telah berlaku kepada diriku. Barangkali mereka sedar bahawa jiwa kerdil ini agak kecewa kerana tidak berjaya mencapai hajat untuk menyambung pengajian di Darul Quran. Hal ini kerana, cita-citaku untuk menjadi HAFIZ AL-QURAN masih belum tercapai. Hanya 23 juzuk sahaja yang sempat kuhafaz di Maahad Muhammadi. Kalau ikutkan hati, boleh sahaja aku tamatkan lagi 7 juzuk itu. Namun, nasihat Ustaz Baari tetap kupegang agar melancarkan hafazan yang diawal adalah lebih afdhal berbanding menghafaz hafazan baru.

Segala persiapan untuk mendaftar di Kolej Matrikulasi itu aku buat hanya ala kadar sahaja. Bukanlah untuk menunjukkan protes. Cuma, jiwaku masih belum boleh menerima kenyataan ketika itu. Perasaanku itu terbawa-bawa sehinggalah aku bergelar pelajar kolej matrikulasi. Sering juga aku mengalirkan air mata di kala malam menjelang tiba kerana takdir itu. Namun, masih lagi kuyakini bahawa di setiap perkara yang berlaku terselit satu hikmah yang sangat bermakna untuk diriku. Kerana aku yakin, bahawa ALLAH sentiasa tetapkan yang terbaik untuk hamba-NYA. Hanya dikuatkan kesabaran yang kupohon.

Kehidupan di matrikulasi jauh berbeza dengan kehidupanku di Maahad Muhammadi dahulu. Seolah-olah seperti langit dan bumi jarak perbezaannya. Di sini kelihatan di mana-mana sahaja di sekitar kawasan matrikulasi ini pasangan cinta sedang berdua-duaan. Pergaulan di antara lelaki dan perempuan juga seolah-olah tiada batasan. Terlalu bebas. Bertepuk tampar perkara biasa. Aku terkedu dengan suasana itu. ‘Culture shock’ seketika. Mahu sahaja kukhabarkan kepada ummi dan abah untuk berhenti daripada meneruskan pengajian di sini. Tapi kusabar.

Namun, kuasa cinta begitu kuat.Itulah yang dibangga-banggakan oleh remaja sekarang. Kerana itulah aku masih bertahan di bumi kolej matrikulasi ini. Cinta itu buta sehingga mampu membutakan mata orang yang bercinta. Sejak menyertai Pertandingan Sajak sempena Kemerdekaan itulah aku mula rapat dengan Maisarah. Walaupun aku pelajar Sains Fizik, namun kerap juga berselisih dengan Maisarah kerana dewan kuliahnya berdekatan dengan dewan kuliahku.

Kehidupanku kini berbeza sama sekali. Dahulunya, aku agak pemalu jika berhadapan dengan perempuan hatta sepupuku sendiri. Kini tidak lagi.Bergurau senda itu bagiku perkara biasa. Namun, aku masih mengekalkan identiti sebagai seorang bekas pelajar sekolah agama.Tidak sampai ke tahap bertepuk tampar lagi. Solatku juga masih penuh di kala gologan remaja ketika ini sering meninggalkan solat. Cuma, aku sering melewat-lewatkan solat tidak seperti ketika di Maahad dulu. Al-Quran juga sudah lama ku tak ulang.

Urusan Amal Fardhi ku juga amat kurang. Aku bukan lagi Mustaqim yang dahulu. Aku sudah lari daripada pendirianku. Pendirian untuk mengetepikan urusan cinta. Namun, sebaliknya pula berlaku. Pernah satu ketika, aku meluahkan perasaan cintaku kepada Maisarah. Namun, gadis bertudung labuh itu hanya berkata “Kita fokus belajar dulu....”. Mendengar jawapan itu, hatiku mula berkata, “Dia akan kujadikan isteri”. Tapi mampukah aku untuk menangani kekacauan jiwaku ketika ini?. Persoalan yang masih belum punya jawapan.

Banyak cara yang kulakukan untuk memikat hati Maisarah. Menjadi imam di masjid pada waktu maghrib pun sudah banyak kali. Ramai sahabat-sahabat memuji bacaanku. Tambah-tambah, mereka mengetahui bahawa dahulunya aku pelajar tahfiz. Namun bagiku, pujian itu tidak membawa kesan kepadaku kerana niatku ketika itu hanya untuk mengambil hati Maisarah. Bak kata P.Ramlee,” baik ada makna”. Aku sudah lupa akan janji-janjiku dahulu. Pelihara hati ini dan jangan berikan ia kepada sesiapa yang bukan hak. Aku keliru. Merasakan Maisarah adalah haknya.

***************


Kini sudah habis satu sem di matrik. Aku melangkahkan kaki untuk menempuh ujian dan dugaan sem dua dengan penuh semangat. Di samping itu, aku masih berhubung lagi dengan Maisarah. Walaupun sekadar ber’sms’,namun ianya seolah-olah ada satu kuasa yang memberi semangat kepadaku. Bukan semangat untuk belajar,tapi sekadar semangat agar kehadiranku penuh tidak seperti sem satu dahulu. Aku terus dibuai dengan kealpaan. Dari hari ke hari. Minggu ke minggu. Bulan ke bulan. Terus menerus dengan kealpaanku.

Sem dua kali ini jauh lebih sukar daripadan sem 1. Prestasiku jatuh mendadak, terutamanya bagi matapelajaran Fizik yang menjadi teras pangajianku di sini. Encik Nik, pensyarah Fizikku yang berbadan gempal itu kerap memanggilku berjumpa beliau. Sesi kaunseling berlaku selama hampir 30 minit. Ketika itu, teringat aku pada dua insan yang sangat kusayang yang berada di rumah. Ummi dan abah. Sekiranya mereka mengetahui hal-hal yang berlaku di sini, pasti mereka sedih. Sedih kerana memaksa aku agar terus bertahan menempuh kehidupan di matrikulasi yang penuh dengan mehnah dan tribulasi ini dulu.

***************

“Tak mengapalah ummi...belajar di mana-mana pun sama...Mus janji akan habiskan juga 7 juzuk lagi tu dalam masa setahun di matrik”, janjiku pada ummi.
Ummi sebak. Berasa bersalah kerana tidak mampu mengotakan segala keinginan seorang anak. Ummi tahu jauh di sudut hati aku terselit secebis kehampaan. Sedikit masalah keluarga telah menyebabkan hajatku itu tidak tercapai. Maka akan berubahlah segala perancangan hidupku ini. Selepas bertahun-tahun menggariskan laluan ini, akhirnya aku terpaksa akur dengan ketentuan ILAHI.

Pernah juga aku mendengar perbualan ummi dan abah. Ummi meminta abah membuat juga rayuan agar aku dapat diterima masuk ke Darul Quran. Namun, jawapan abah menghampakan. Keterlewatan aku dalam mengatakan hasrat itu kepada ummi dan abah merosakkan segala-galanya. Ditambah pula dengan masalah keluarga ketika itu yang aku sendiri sudah terlupa apakah ia.

Abah memujukku agar masuk sahaja ke kolej matrikulasi itu. Alasan abah, kak long dan kak ngah juga lepasan kolej matrikulasi. Mereka berjaya membuktikan kemampuan mereka kepada ummi dan abah. Kak long kini melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang kedoktoran manakala kak ngah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur dalam bidang farmasi. Aku pula bagaimana? Itulah kerisauan yang terbit dari dalam diriku.

Aku teruskan juga sisa-sisa kehidupanku di kolej itu. Megat, walaupun bukan pelajar lepasan sekolah agama seringkali juga menegur di kala melihatku semakin alpa dengan ‘bibit-bibit cinta’ ku itu. Aku tidak menyatakan aku dan Maisarah bercinta. Tapi seumpama bercinta itu ada. Aku malu dengan perilaku itu. Megat memang menjadi orang yang terbaik untuk menegurku ketika itu. Kerana dia adalah sahabat baikku. Hari ke hari. Aku semakin berasa segalanya kurang. Ada sahaja yang tidak kena. Namun hilang idea apakah puncanya. Aku mula untuk fokus kerana peperiksaan semakin hampir.

Megat mengajakku mengulangkaji pelajaran di saat genting ini. Minggu depan adalah peperiksaan akhir semester. Selepas ini, aku akan bebas dari penjara matrikulasi ini. Ini juga bermakna aku akan berpisah dengan Maisarah, Megat dan sahabat-sahabatku yang lain. Aku merelakan sekiranya ia berlaku kerana setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Itulah lumrah kehidupan. Siapalah aku untuk menentang lumrah. Ku pasrah segalanya.

***************

Aku diterima masuk sebagai pelajar tahun satu Fakulti Kejuruteraan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Di sana, pelajar-pelajar fakulti kejuruteraan sering dipanggil ‘budak kejut’. Aku pun terkejut dengan panggilan itu. Hanya sebuah senyum yang mampu diukirkan.

Aku di tempatkan di Kolej Kediaman Dato’ Onn. Alhamdulillah, sahabat sebilikku juga pelajar kejuruteraan tahun satu sepertiku. Namanya Hadi. Juga bekas pelajar matrikulasi sepertiku. Bezanya dia bekas pelajar matrikulasi Perak di Gopeng. Dialah tempat untukku berkongsi masalah suka dan duka. Aku sangat berbangga mempunyai sahabat sebilik seperti itu.

***************

“Mu nih aku segho keno ngulang semula Al-Quran tuh...baru jiwo mu tenang smula..”, jawapan Hadi apabila selesai aku menceritakan segala permasalahan hatiku. Janjiku untuk menjadi HAFIZ masih belum terlaksana. Janjiku agar elakkan masalah cinta itu juga. Cuma masalah cinta itu telah lama ku selesaikan ketika Hadi menasihatku dulu. Aku tidak lagi menghubungi Maisarah yang kini berada di USM,Kelantan dalam bidang kedoktoran. Aku hanya menganggukkan kepala sahaja tanda setuju dengan cadangan Hadi itu.

Dalam kotak fikiranku terkenang zaman-zaman di alam persekolahan. Mengalir air mata itu semula. Aku memejamkan mata dan minta diri untuk tidur. Akanku pandu bahtera mimpiku untuk mencari punca dan mengatasi punca masalah ini. Aku lena dibuai mimpi.

***************

2 TAHUN KEMUDIAN


“Mustaqim Bin Muhammad”, begitu jelas namaku dipanggil. Lantas aku dengan penuh kegembiraan melangkah mara naik ke atas pentas. Hari ini adalah majlis konvokesyen buat ‘batch’ ku.Konvokesyen ini disempurnakan oleh Prof Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Naib Canselor UKM. Alhamdulillah, genap 4 tahun sahaja pengajianku di sini aku bergraduasi. Tanpa perlu ‘extand’. Dengan berbekalkan pointer keseluruhan 3.11 sudah cukup untuk membuatkan ummi dan abah gembira. Selesai segala masalah yang aku hadapi. Aku kini sudah bergelar HAFIZ AL-QURAN 30 juzuk. Masalah cinta pula? Ia bukan lagi masalah. Selesai Maisarah habis belajar ilmu kedoktorannya, kami akan berkahwin. Syukur ku panjatkan ke Hadrat-Mu Ya ALLAH.

Malamnya, keluargaku mengadakan sedikit kenduri kecil-kecilan. Makan malam bersama keluarga tercinta begitu bermakna buatku. Selepas selesai makan, aku berehat di luar kawasan berendah rumahku. Lalu kudongak ke arah awan yang diterangi gemerlapan bintang-bintang. Sungguh tenang sekali permandangan itu. Lantas ku tersenyum kegembiraan. Ku teringat nasihat ummiku ketika aku masih bergelar pelajar di UKM. Al-Quran sumber inspirasi bagi setiap umat. “Benar kata ummi........”

Betul kata UMMI...(siri 2)

“tension bakpo pulok ni?...acu oyak sket...kot-kot aku boleh tolong ko?”, kata Hadi penuh pengharapan agar aku tidak pendamkan masalah itu keseorangan.

Begitulah sahabat sejati. Bila senang dia di sisi, bila susah juga dia di sisi.Aku kebingungan seketika. Bagaimana dan di mana mahu aku mulakan. Hadi begitu bersungguh untuk membantuku. Aku sangat bersyukur mempunyai sahabat sepertinya.

“Ni masalah peribadi la...aku kecewa dengan diri aku ni la”, itulah kata-kata yang terbit daripada lidahku. Agak kelu seketika untuk berkata. Mataku turut bertindakbalas. Mula berkaca. Sudah lama juga aku tidak mengalirkan air mata. Sejak sem yang lepas, ketika aku meluahkan masalah cinta aku pada Hadi. Aku kira dalam 7 bulan juga. Bukanlah kemestian untuk mengalirkan air mata itu. Tapi inilah fitrah manusia yang berjiwa lembut sepertiku. Tambah pula dengan mengalirnya air mata itu jugalah pasti akan jatuh tersungkurnya ego dan kebongkakan kita sebagai hamba terhadap Yang Maha Esa.

“Oyak la, aku sanggup dengar......”, Hadi mula memujuk.
“Aku telah membuat kesilapan yang besar...aku telah mengkhianati janji-janji aku”,
Hadi mendengar dengan tenang. Tanpa reaksi yang terkejut atau terburu-buru untuk mendengar habis ayatku. Dia hanya mendengar tanpa kata walaupun sepatah. Aku memulakan ceritaku berkenaan pengalaman hidupku. Barangkali akan menyentuh hati-hati yang jiwanya yang lembut sepertiku. Sungguh syahdu jalan yang ku lalui ini. Menyedihkan hati.

***************

Aku dahulunya bersekolah di sebuah sekolah kebangsaan di negeri asalku, Selangor. Juga mengikuti kelas Fardhu Ain di sebelah petangnya. Memang sejak kecil lagi ummi dan abah mendidikku dengan didikan agama. Walaupun ummi dan abah bukanlah daripada jurusan agama. Namun, mereka amatlah mengharapkan anak-anak mereka menjadi soleh dan solehah.

Mungkin ujian ALLAH kepada ummi dan abah. Aku seringkali membuat masalah disiplin di sekolah. Baik di sekolah kebangsaan mahupun di sekolah Fardhu Ain. Seingat aku, adalah dalam 2 atau 3 kali juga ummi dan abah djemput untuk berjumpa dengan pengetua sekolah Fardhu Ain kerana masalah disiplin yang telah aku lakukan. Ketika itu aku darjah 6. Aku telah memukul 2 orang budak yang belajar di sekolah itu juga. Pelajar darjah 4 dan pelajar darjah 5. Ketika itu aku sangat baran. Pantang dicabar oleh sesiapa saja tambah-tambah cabaran daripada pelajar yang lagi muda dariku.

Ummi dan abah sangat sedih kerana aku paling kerap mendatangkan masalah kepada mereka. Namun, kesabaran terhadapku selaku anak ketiga daripada lima orang anak masih terpancar pada wajah ummi dan abah walaupun mereka cuba menyembunyikannya. Adik beradikku 2 lelaki,3 perempuan. Pertama dan kedua kakak. Aku dan adik selepasku lelaki manakala bongsu pula perempuan. Ketika pulang ke rumah, ummi dan abah tidak putus-putus menasihatiku. Walaupun syahdu mendengar nasihat mereka, namun mungkin kerana jiwa baranku ketika itu, ku buat tak endah sahaja nasihat itu.

Tibanya kami di perkarangan rumah. Aku bergegas keluar daripada kereta Honda Civic hitam milik abah itu dan terus lari masuk ke dalam rumah. Lalu aku berkurung di dalam bilik. Mungkin kerana terlalu memikirkan teguran ibubapaku yang beraneka macam itu tadi. Aku terus merebahkan diri ke atas katil. Di dalam bilikku itu ada dua katil. Milikku dan milik adik lelakiku, Azhar berumur 3 tahun lagi muda dariku.

Selang beberapa minit, kudengari pintu bilikku dibuka. Seperti yang sudah kuagak. Ummi masuk ke bilikku lalu mendekatiku. Aku menarik muka. Panjang sungguh muncung mulutku ketika itu. Sekiranya diukur, barangkali rekod Malaysia mulut bermuncung panjang pasti menjadi milikku ketika itu. Panjang sikit dari kebiasaan tetapi lagi pendek dari keluarbiasaan. Tapi rekod itu tidak wujud sama sekali.

“Mus, jangan buat muka macam ni. Ummi dengan abah tegur Mus tadi supaya Mus berubah. Mus kena sedar, Mus anak sulung lelaki keluarga kita. Mus kena jadi anak yang soleh”, pujuk ummi ku yang berwajah redup itu.
“Mus marahkan ummi dan abah lagi ker?”, tanya Ummi lagi.
“Tak.........”, jawabku ringkas.
“Begini Mus. Ibubapa mana yang tidak sayangkan anak?. Ummi dan abah buat macam ni agar Mus berubah. Ummi tahu, mungkin teguran abah tadi agak tegas. Tapi jangan la kerana itu Mus terus merajuk. Sampai bila Mus? Kamu dah la nak periksa UPSR tak lama lagi. Belajarlah. Jangan asyik bermain saja. Mus taknak ke berjaya macam kak long dan kak ngah? Mereka dah masuk sekolah asrama dah”,
“Biarlah kak long dan kak ngah tu....Diorang pandai, Mus tak. Selalu bawa masalah pada ummi dan abah”, ku terasa rendah diri bila ummi memuji kak long dan kak ngah.

Mereka kini berada di Sekolah Agama Bestari di Subang. Sekolah tersebut memang bagus di seluruh Selangor. Sekolah terbaik JAIS. Jauh di sudut hatiku mahu juga melanjutkan pelajaran di sana. Tapi pelajaranku yang tidak stabil ini barangkali hanya mimpi di siang hari. Kedudukan 7 tempat terakhir di dalam kelas sudah menjadi kewajipan ianya milikku.

“Tak mengapa Mus. Yang penting Mus kena usaha. Ummi dan abah selalu mendoakan kejayaan Mus,” kata-kata ummi jelas menampakkan keikhlasan beliau. Jiwa baranku kalah dek kasih sayang seorang ibu. Aku mengalirkan air mata. Lalu ummi memelukku. Bergetar tubuh badanku kerana merasakan kehebatan kasih sayang seorang ibu. Dalam hati aku berkata, “maafkan Mus ummi. Mus sayang ummi dan abah”.

***************

Hari ini adalah hari pertama pendaftaranku di Sekolah Maahad Muhammadi Lelaki di Kota Bharu. Tidak pernah walaupun sekali aku bayangkan aku akan bersekolah di Negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Sangat jauh jika dibandingkan dengan sekolah kak long dan kak ngah. Takdir ALLAH telah menempatkan aku untuk berada di sini. Selepas keputusan UPSR diumumkan, maka segala-galanya berlaku. Aku memperoleh keputusan 4A 1C. C ialah subjek Bahasa Inggeris. Mungkin kerana kurang pembacaan dan minat terhadap matapelajaran tersebut menyebabkan aku mendapat hanya sekadar C untuk itu. Namun aku tetap menadah tangan bersyukur ke Hadrat Yang Maha Esa.

Perasaan hangat dan semangat untuk melanjutkan pelajaran di Maahad ini bermula selepas keputusan UPSR diumumkan. Sohornya nama Maahad ini di sekitar kawasan rumah aku disebabkan perubahan mendadak sikap Abang Wan, jiran rumahku. Beliau dahulunya sangat terkenal dengan kenakalannya. Mungkin lagi teruk nakalnya dariku. Namun, setelah menuntut di Maahad, beliau kembali seperti perwatakan orang lain. Beliau sering menjadi imam dan kadangkala bilal di surau Al-Rasyidin kariahku. Sangat besar perubahan yang berlaku kepadanya menyebabkan aku turut berminat untuk mendapat didikan dari Maahad itu.

Lantas aku menyatakan hasratku mahu melanjutkan pelajaranke ke Maahad Muhammadi Lelaki kepada ummi dan abah. Ummi pada mulanya agak berat untuk membenarkan. Tapi abah dengan fikiran yang matang telah memujuk ummi agar merelakan perantauan ku itu. Tambahan pula, abah sememangnya yang berasal dari Pahang itu mempunyai ramai kenalan di Kelantan. Bahkan dua pupunya juga orang Kelantan. Dua pupu abah bererti tiga pupuku. Walaupun aku tidak tahu samada istilah tiga pupu itu wujud atau tidak dalam kamus Bahasa Melayu.

Di Maahad Muhammadi lah aku ditarbiyah secara serius. Aku didedahkan dengan pelbagai ilmu agama. Bukanlah bererti mempelajari banyak agama, tetapi ianya bererti aku mempelajari cabang-cabang ilmu agama Islam yang sebenarnya luas. Aku semakin menyukai corak pembelajaranku di sana. Ilmu bahasa Arabku yang pernah kupelajari di sekolah Fardhu Ain dahulu semakin meningkat kerana Maahad Muhammadi amat menekankan pembelajaran dalam bahasa Arab. Hampir 80% matapelajaran dalam bahasa Arab.

Selain matapelajaran yang sebahagian besarnya dalam Bahasa Arab, aku juga mengikuti kelas Tahfiz yang turut ada di sana. Merasa juga aku seolah-olah berada seperti di sekolah tahfiz. Makan dan minum aku ketika itu benar-benar terjaga. Rahmat ALLAH Taala telah menakdirkan aku menjadi anak murid Ustaz Abdul Baari. Beliau sangat berkebolehan. Selain menjadi Guru tahfiz, beliau juga seorang “Doktor PC”. Sangat berpengalaman dalam pembaikian komputer baik dari segi “Hardware” mahupun “Software”.

Alhamdulillah sepanjang aku berada di Maahad Muhammadi, ku dapat rasakan ilmu aku mula bertambah. Aku didedahkan dengan kepelbagaian ilmu Fiqh, Tauhid, Balaghah, Nahu Soraf dan lain-lain. Aku juga berkenalan dengan senior-senior yang mempunyai banyak kisah silam di sebalik peribadi mereka yang tampak soleh dan wara’ itu. Aku teringat akan kisah seorang seniorku bernama Muhammad Fadhil B. Hasanuddin. Seorang ketua Umum yang sangat dihormati oleh teman-teman hatta pelajar Maahad yang agak liar sekalipun. Kerana keperibadian yang dipamerkan menyebabkan pelajar lain mudah ikut serta tunduk arahan beliau selaku seorang pemimpin.

Setelah 5 tahun belajar di Maahad Muhammadi, kurasakan seolah-olah masa berlalu begitu pantas. Pejam-celik, pejam-celik sudah tamat proses pembelajaranku di sana. Alhamdulillah keputusan SPM aku membanggakan sebagai seorang pelajar Sains Agama. Target aku ketika itu hanyalah untuk menyambung Persijilan Tahfiz di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu selama setahun setengah. Dan Insya-ALLAH selepas itu akan kulanjutkan pengajian di UIA. Mengambil peluang itu adalah untuk menghabiskan hafazan Al-Quran yang telah kumulakan di Maahad Muhammadi. Tinggal beberapa juzu’ sahaja lagi untuk kuhabiskan. Namun, takdir ALLAH mengatasi segala-galanya. Atas beberapa masalah peribadi, aku terpaksa melupakan keinginanku untuk menyambung pengajian ke Darul Quran. Sangat pilu untukku lupakan Darul Quran dari perancangan hidupku.

[Bersambung.............]

***************

Betul kata UMMI...

“Engkau kena selalu baca Al-Quran, baru hati tenang. Nak belajar pun mudah faham”,begitulah kata-kata ummi padaku ketika aku menjawab panggilan ummi. Sungguh syahdu suara ummi kudengar. Tatkala aku meletakkan gagang telefon bimbitku, maka mengalir deras air mata membasahi pipiku. Bermain di kotak fikiranku akan kenangan-kenangan lalu ketika menuntut di sebuah sekolah di sebuah negeri di Pantai Timur beberapa tahun yang lalu. Tatkala itu juga aku teringat kenangan ketika mengikuti Kelas Tahfiz di sekolah tersebut.

***************

“Mu nih telo...ngaji molek sikit gak...mu tau dok doso kalo ngaji tak betul?”,teguran Ustaz Abdul Baari yang benar-benar mengguris hati tatkala aku membaca Al-Quran dengan baris serta sebutan yang salah. Sudah menjadi kebiasaan bagiku serta sahabat-sahabatku yang lain akan ditegur ‘direct’ oleh ustaz yang kami kagumi itu. Beliau merupakan salah seorang juri hakim bagi setiap pertandingan Hafazan Al-Quran peringkat Kelantan. Wajah beliau yang tenang itu sememangnya akan menyejukkan mata-mata yang memandang. Namun begitu, tiada alasan untuk beliau berlembut sekiranya anak muridnya salah membaca Al-Quran ketika sesi Tasmi’.

Aku segera pulang ke asrama selepas jam menunjukkan tepat jam 10 malam. Kelas Tahfizku diadakan pada setiap hari Isnin dan Rabu bermula jam 8 malam sehingga jam 10 malam. Aku dan sahabat-sahabat yang lain solat Isyak berjemaah di Musolla Islah selepas pulang ke asrama. Hari ini sudah genap 3 kali sahabat karibku, Zuhair tidak menghadiri kelas tahfiz. Aku terus ke tempat biasa Zuhair mengulangkaji pelajaran. Aku sudah masak dengan perangai Zuhair. Kalau dia rasa nak ‘tuang’ kelas, pasti ‘port study’nya tidak lain tidak bukan di Musolla Islah.

“Weh,Zuhair...kenapa kau ponteng harini? Ustaz tanya pasal kau lagi la”,
“Habis kau jawab apa?”,
“Aku jawab macam biasa...PONTENG!”, ayat perliku khas buat Zuhair.
“Ceh, kau sengaja je nak kenakan aku”,
“La, dah kau memang ponteng, takkan nak kata kau sakit pulak,haha”,
Zuhair menjebikkan bibir kepadaku. Marah agaknya. Aku memang suka mengusik Zuhair.Kami saling kata-mengata antara satu sama lain. Tapi perang mulut kami itu hanya sekadar suka-suka sebagai sahabat karib. Dia juga pelajar yangmerantau sepertiku. Asalnya dari Shah Alam. Kelebihan yang terdapat padanya sehingga membuatkan aku berasa senang bersahabat dengannya adalah sifatnya yang kreatif. Memang kreatif budak Zuhair yang rendah itu.

Alasan Zuhair tidak hadir ke kelas hari ini adalah kerana tidak sempat menghafaz hafazan yang baru. Sudah sedia maklum bagi kami pelajar-pelajar Ustaz Baari, untuk tasmi’ dengan beliau perlu mengulang sekurang-kurangnya separuh juzu’ hafazan yang lama serta satu muka hafazan baru. Itu syarat minima bagi kami. Tapi bagi pelajar hebat seperti Imran,Shakir, Ammar dan Khairul, mereka pasti membaca 2 muka hafazan baru bahkan kadang-kala lebih. Itulah kelebihan mereka yang jiwa bersih tidak sepertiku dan Zuhair. Tapi aku tetap bersyukur kerana Allah masih memberiku peluang untuk menghafaz Al-Quran. Dan aku bertekad akan cuba sedaya-upaya untuk menghabiskan hafaz Al-Quran. Insya-ALLAH.

***************

“Weh, koya ko?”, sapaan Hadi kepadaku ketika dia masuk ke dalam bilik. Kami adalah rakan sebilik di Kolej Kediaman Dato’ Onn,Universiti Kebangsaan Malaysia. Hadi seorang sahabat yang baik. Berasal dari Kelantan, negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Oleh sebab, aku juga pernah menuntut di Kelantan, jadi mudahlah bagiku untuk berinteraksi dengannya dalam loghat Kelantan itu sendiri. Cara pertuturan aku tidak ubah seperti orang Kelantan. Sehinggakan ada sahabatku,Iwan ketika sekolah menengah menyangkakan aku juga berasal dari Kelantan. Aku suka sekolah berasrama. Tambah-tambah lagi di Kelantan.

Ummi dan abah sememangnya menggalakkanku agar belajar berdikari agar mudah di hari mendatang. Benar didikan ummi dan abah itu. Aku kini tiada masalah untuk melanjutkan pelajaran di negeri lain. Cuma rezeki untuk melanjutkan pengajian ke luar negara belum ada lagi. Hajat di hati ada, tapi tunggu peluang akan datang, Insya-ALLAH.

“Dok eh..”, jawapanku bersahaja buat Hadi. Sahabat mana yang tidak ambil peduli akan sahabat lain. Hadi memang peramah. Dialah tempat untuk aku berkongsi suka dan duka kini. Hadi sukarela menawarkan diri mahu menjadi pendengar setia sekiranya aku menghadapi sebarang masalah. Aku akui sifatnya yang lapang dada itu. Kerana pernah sekali aku bercerita tentang masalah hati yang aku hadapi ketika menuntut di sebuah kolej matrikulasi dahulu,dia dengar dengan khusyuk tanpa menunjukkan kebosanan mendengar kisah aku itu. Masalah cinta. Memang biasa berlaku bagi remaja sepertiku. Alhamdulillah, ALLAH masih memeliharaku agar tidak terjebak dalam sindrom yang tidak sihat itu. Cinta terlarang.

Bukan niatku untuk menafikan cinta itu. Tapi bukanlah sekarang masanya bagiku insan yang masih mentah ini untuk bercakap hal cinta. Cinta itu fitrah. Dan fitrah boleh jadi fitnah sekiranya tidak pada tempat yang betul. Hadi menenangkanku dan memberikanku kata-kata semangat agar aku tidak terlalu memikirkan hal itu lagi. “Terima kasih Hadi”, aku bermonolog selepas dinasihatinya ketika itu.

Hadi dulu bersekolah di sebuah sekolah yang popular di Selangor. Walaupun berasal dari Kelantan, tapi melanjutkan pelajaran ke bumi Selangor.Terbalik dengan aku. Barangkali sebut KISAS, pasti semua rakyat Malaysia pernah mendengar nama sekolah itu. Gah dengan keputusan SPM,STAM dan STPM-nya setiap tahun. Nama panjang KISAS ialah Kolej Islam Sultan Alam Shah, di Klang. Hadi adalah contoh produk KISAS yang menonjol di institusi pengajianku sekarang. Dia sering memimpin kami menjadi Imam di surau Iman di hostel kami.

Namun sejak kebelakangan ini, aku seringkali menyibukkan diri dengan hal-hal duniawi. Aku sangat aktif dengan program Kelab Penyayang yang telah beberapa sem aku ikuti sebagai ahli. Tapi kini aku sudah menjadi Exco Kegiatan Luar. Jawatan telah menjebakkan aku dengan kesibukan hal-hal dunia sehingga tiada masa untuk aku solat berjemaah di surau Iman. Hadi mula menggeleng-gelengkan kepala melihat aku yang seringkali pulang lewat ke bilik. Dan setiap minggu pasti aku tidak berada di hostel kerana kepadatan program yang kuikuti anjuran Kelab Penyayang itu.

“Habis, mu wat gapo tadi?...duk menung jah!...”, tanya Hadi semula.
Berkaca-kaca mataku ketika Hadi bertanyakan soklan itu kepadaku. Baru sebentar tadi air mataku mengering. Kini seolah-olah mahu mengalir buat kali kedua.
“Aku tensionla.......”

[Bersambung..........]