Thursday, April 8, 2010

AL-QURAN moment....



Pada malam itu, Ustaz Badrul Hisyam datang lewat ke kelas Tahfiz 9. Difahamkan kelas ini merupakan kelas bagi abang-abang senior. Mereka kebanyakannya terdiri daripada golongan yang sudah HAFAZ AL-QURAN 30 Juzuk. Ada juga yang belum. Namun, paling rendah hafazan pun kalau tidak silap seorang senior, itupun hafazannya sudah menjangkau juzuk yang ke-25.

Memori ini sebenarnya berlaku beberapa tahun yang lepas di SMU (A) Maahad Muhammadi Lelaki. Untuk pengetahuan, di sekolah tersebut, mengikuti kelas tahfiz bukanlah satu kewajipan. Kerana maahad bukanlah sebuah sekolah berteraskan tahfiz. Cuma menyediakan khursus tahfiz sahaja. Namun, ramai di kalangan pelajar yang lebih suka untuk mengikuti khursus tersebut.

Jam tepat menunjukkan pukul 8,30 malam. Maka, kedengaran motosikal EX5 milik Ustaz Badrul Hisyam memarkir di luar laman kelas. Kelas kebiasaannya bermula pada jam 8 malam. Diadakan pada 3 kali seminggu iaitu Ahad malam Isnin,Isnin malam Selasa dan Rabu malam Khamis. Lalu Ustaz pun masuk ke dalam kelas dengan gaya tenangnya.

Seperti biasa, Akashah selaku ketua kelas tahfiz 9 akan berlagak seperti seorang ketua dan bertanyakan sebab kelewatan Ustaz. Akashah sememangnya pelajar tahfiz terbaik maahad kerana mutu bacaan dan ingatannya yang sangat baik (mashi). Dia juga merupakan anak didik kesayangan Ustaz Badrul Hisyam itu sendiri. Bermula dari juzuk 1 lagi dia menuntut dengan Ustaz. Ustaz Badrul Hisyam adalah merupakan hakim Fatih negeri Kelantan. Sudah menjadi kewajipan bagi beliau untuk menjadi hakim fatih (pembukaan soalan) jika berlangsungnya Musabaqah Tahfiz Al-Quran peringkat Negeri Kelantan.

Seperti kebiasaan juga, abang-abang senior yang sememangnya sudah Hafiz 30 juzuk, mereka sekadar mengikuti kursus ini untuk mengulang semata-mata. Tujuannya adalah agar ingatan mereka tidak lupa. Begitu juga Akashah dan seorang lagi pelajar yang ingin diketengahkan wataknya iaitu Abdul Mukmin. Mereka berdua sama-sama sudah bergelar Al-Hafiz (Bukannya AL_HABIS insyaALLAH)

Ustaz Badrul juga turut sama mengulang. Kerana pada hemat Ustaz, biarkan beliau merupakan seorang Guru Tahfiz, namun hak untuk menjaga ayat Al-Quran itu turut menjadi hukum wajib bagi beliau. Cuma bezanya, Ustaz lebih mashi daripada anak muridnya. Beliau seolah-olah boleh melihat Al-Quran di mana-mana sahaja. Tambahan pula Ustaz juga lulusan Tafsir dan Hadis lepasan Universiti Madinah. Oleh itu, bukan suatu yang pelik jika beliau mempunyai ingatan yang sangat kuat.

Dipendekkan cerita, Ustaz tergerak hati ingin menguji anak buahnya yang hebat-hebat berkaitan ayat Al-Quran. Oleh kerana rata-rata mereka adalah Al-Hafiz, jadi mudahlah bagi Ustaz ingin menguji mana-mana ayat Al-Quran sekalipun. Soalan pertama Ustaz bertanyakan kepada Akashah. Surah yang ditanya kalau tidak silap, Surah Thoha. Alhamdulillah, kelebihan kuat ingatan yang Allah kurniakan kepada Akashah menyebabkan dia berjaya menjawab soalan yang ditanya itu (istilahnya ; tebuk)

Lalu Ustaz beralih kepada Abdul Mukmin. Soalan yang ditanya adalaha daripada Surah Al-Fath. Abdul Mukmin juga mempunyai daya ingatan yang kuat. Dia berjaya juga menjawabnya. Dia menghafaz Al-Quran di negara Afrika selama 3 tahun mengikut cara hafazan orang Pakistan (menghafaz dari surah belakang). Ustaz mula mengubah format soalan. Apabila dibacakan satu ayat Al-Quran, Ustaz menyuruh Mukmin membacakan ayat sebelum daripada ayat yang ditanya itu. Mukmin terpaksa mengambil masa untuk memberikan jawapan. Lalu Ustaz menambahkan tekanan soalan dengan menyuruh dia membacakan Surah Al-Fath bermula dari ayat terakhir sehinggalah ayat pertama. Akhirnya Mukmin surrender dengan kehebatan Ustaz. Ustaz dengan tenang membacakannya di hadapan semua anah buahnya. Bermula dari ayat terakhir sehinggalah ayat yang pertama.

Setelah selesai membacanya, Ustaz menasihati anak muridnya agar mendukung Al-Quran sebaik mungkin kerana kebanyakan daripada mereka yang bergelar Al-Hafiz rata-ratanya tidak ingat keseluruhan Al-Quran. Kata Ustaz, sudah cukup baik bagi golongan Hafiz itu mengingati 15 juzuk dengan lancar. Kalau 30 juzuk lancar Alhamdulillah. Tapi hakikatnya AL_HABIS itu lebih ramai berbanding Al-Hafiz yang sejati. Ustaz juga menambah, jadikan akhlak diri sendiri mengikut acuan Al-Quran. Kerana sesungguhnya Al-Quran itu sangat mulia.Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment