Monday, June 14, 2010

Nuang memang best~


Bismillahirrahmaanirrahiim....

Saya ingin bercerita tentang suatu pengalaman yang agak menyeronokkan tapi dalam masa yang sama saya menyimpan satu perasaan yang sangat tidak mampu digambarkan. Mungkin pembaca boleh fikirkan samada ianya benar atau rekaan saya semata-mata. Terpulang pada anda untuk meletakkan pendapat masing-masing.

Ini berkenaan pengalaman mendaki Gunung Nuang iaitu gunung yang tertinggi di Selangor bersama-sama sahabat daripada APIS (Alumni Pelajar Islam SBP) bertarikh 2 Jun yang lalu. Secara jujurnya, saya belum pernah sebelum ini mendaki gunung. Mana-mana gunung sekalipun. Kalau ada pun hanyalah Bukit Bakar di Machang, Kelantan. Bukit tersebut adalah bukit yang paling tinggi di Kelantan. Perjalanan untuk ke puncak bukit itu sejauh 3.45km. Berbanding dengan Gunung Nuang ini, perjalanan untuk tiba ke puncak adalah sejauh 10 km lebih (lebih panjang daripada jarak merentas desa di KISAS dulu; hanya 7.5km)



Kerana ingin merasai sedikit cabaran, saya gagahkan juga untuk mengikuti expidisi ini walaupun saya baru pulih dari keadaan yang tidak sihat sebelumnya. Perjalanan bermula dari rumah. Saya diarahkan oleh Tuan Presiden, En Fakhrul Hazim untuk menunggu Timb Presiden APIS, En Syafiq Haziq di KTM Kajang. Dalam jam 9 lebih seingat saya, barulah En Syafiq tiba di KTM tersebut lalu kami meneruskan perjalanan dan berhenti di Balai Polis Pekan Batu 14 untuk mengisi borang dan sebagainya demi keselamatan.




Kami sebelum ini difahamkan akan ditemani oleh seorang Guider di mana guider tersebut akan memimpin perjalanan kami naik dan turun. Jadi, kesemua peserta berasa sangat senang kerana turut serta dalam expedisi ini adalah seorang yang berpengalaman dan mahir dalam selok belok Nuang ini. Namun, apabila kami sampai di tempat kejadian, keadaan amat menghampakan kerana guider yang dijanjikan itu tiada. Kami pasrah dan tetap dengan perancangan asal untuk menawan puncak Nuang. (Dalam hati risau dan macam-macam lagi)







Kami bermula dengan semangat yang agak berkobar-kobar. Dengan kekuatan 6 orang peserta lelaki dan 7 orang peserta wanita sahaja kami meneruskan expedisi ini. Saya, En Baihaqi dan En Zulhafiy (Leader) diberi tanggungjawab untuk memimpin jalan hadapan di mana belakang skali dicover oleh En Fakhrul (Presiden), En Syafiq (Timb Presiden) dan En Iqbal (Cameraman).

Perjalanan kami agak lambat dari kebiasaan pendaki kerana mungkin peserta-peserta semuanya tidak cukup latihan fizikal untuk menghadapi cabaran mendaki gunung ini. Kami kerap berhenti menyebabkan perjalanan agak terlewat daripada masa yang dirancang.



Setelah beberapa jam berjalan, kami tiba di suatu tempat yang kelihatan seakan-akan tempat perkhemahan. Mengikut perancangan, kami akan bermalam di Kem Lolo. Kami sangkakan tempat yang kami temui itu adalah Kem Lolo. Lalu, En Hafiy selaku ketua perjalanan mengajak saya untuk memantau kawasandi sekitar samada sesuai untuk dijadikan tempat berkhemah atau mungkin ada lagi tempat yang lebih sesuai. Setelah berjalan ke atas dalam beberapa ratus meter, kami membuat keputusan agar tempat yang ditemui itu tadi dijadikan tempat berkhemah.



Malamnya kami menghidupkan api seperti kebiasaanyang dilakukan ketika di hutan. Namun, kerana keadaan agak lembap, maka kayu api sukar untuk dibakar. Mujur dengan kemahiran dan pengalaman En Hafiy, beliau telah membuat beberapa pelita untuk dijadikan penerang kegelapan.



Aktiviti malam itu kami berkumpul dan membaca Qasidah yang dipelajari oleh Tuan Presiden, dan beliau telah mengajarkan kami akan Qasidah itu. Walaupun ia bukanlah satu kemestian untuk mempelajari Qasidah, namun sebagai puji-pujian ke Hadrat Ilahi dan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW itu adalah lebih baik daripada melakukan aktiviti yang sia-sia. Mungkin lebih baik jika diterapkan amalan membaca Al-Quran sebelum tidur kerana itu adalah yang lebih utama. Sebagai contoh membaca Al-Mulk beramai-ramai sebelum tidur.





Keesokkan harinya kami meneruskan expedisi untuk menawan puncak. Sememangnya halangan dan cabaran itu sangat menguji kesabaran. Kami mengambil masa yang sangat lama kerana keletihan dan kami juga banyak berehat. Boleh dikatakan setiap 10 atau 15minit kami akan berhenti berehat. (Pendakian ini tidak disertai oleh En Baihaqi dan Enn Hafiy kerana mereka berdua menjaga khemah dan barang-barang. Jadi, taklifan ketua pendakian telah diberikan kepada saya yang tidak biasa dengan keadaan gunung).



Sehinggalah kami tiba di Kem Pacat. Difahamkan kem tersebut antara tanda bahawa semakin menghampiri puncak. Kami gembira apabila tiba di sana. Namun, masalah yang kami hadapi adalah, air yang kami bawa sudah habis diminum di dalam perjalanan.



Kami sangkakan di puncak kelak pasti akan ada sumber air. Namun keadaan sebaliknya. Di atas puncak yang kami berjaya daki iaitu Puncak Pengasih (bukan puncak yang utama) tiada apa-apa. Yang ada Cuma batu sempadan yang memisahkan antara negeri Selangor dan Negeri Pahang. Jadi kami sepakat untuk tidak meneruskan perjalanan ke puncak yang sebenar. Cukuplah sekadar sampai di puncak pengasih sahaja. Dan kami makan sedikit bekalan tanpa minum air untuk mengumpul sedikit tenaga untuk turun semula ke bawah. Kami akan me’refill’ air di kem pacat kerana difahamkan ada sumber air di sana.





Perjalanan turun kami lebih cepat berbanding ketika naik. Namun, ketika sampai di kem pacat. Disangkakan bahawa sumber air yang dimaksudkan itu dekat. Tetapi rupanya jauh dan perjalanan yang agak sukar. Saya dan En Syafiq pergi mendapatkan air yang sangat sukar perjalanannya. Kami terpaksa melalui jalan yang sangat curam sehingga kami tergelincir dan bertemu dengan laluan khinzir. Mujurlah itu hanya laluannya dan bukan sarangnya. Perjalanan kami mengambil masa 40minit. Hanya untuk mengambil air sahaja dah memakan masa 40 minit. Sememangnya sangat sukar.

Kami tiba semula di khemah sangat lewat dan kepetangan. En Baihaqi dan En Hafiy telah mengemaskan segala apa yang patut. Mereka telah mengambil keputusan turun dulu ke bawah dengan harapan untuk mendapatkan bantuan renjer hutan kerana perjalanan kami telah melebihi masa yang telah ditetapkan.(Tiada renjer yang tiba). Setibanya, kami di tapak perkhemahan, kami bersiap dan bergegas untuk turun ke bawah. Perjalanan kami turun itu adalah ketika waktu maghrib yang sangat membahayakan. Alhamdulillah, dengan berkat doa dari semua peserta, akhirnya kami tiba juga ke bawah dengan selamat tanpa sebarang masalah.

[DISEBALIK CERITA]

Saya tak pasti apakah ini kelebihan atau kecacatan, namun saya dikurniakan ALLAH dengan satu gerak hati dan boleh nampak ‘lintasan’ makhluk halus.

Peristiwa 1

Ketika saya dan En Hafiy meninjau keadaan sekitar. Kami berdua lalu di sebelah saluran paip yang besar. Waktu itu, En Hafiy berkata kepada saya; “Dah la, jom kita balik khemah”. Saya dapat rasakan sesuatu pada ketika itu. Kami berjalan pulang ke khemah dan setibanya di khemah beliau berkata, tidak sedap hati dan bulu meremang. Saya pula katakan kepadanya; “Tadi ada orang tengok kita. Tapi aku malas la nak tegur apa-apa”. Lalu kami diam seribu bahasa.

Peristiwa 2

Ketika malam hari di tapak perkhemahan, En Iqbal yang pada ketika itu duduk bersebelahan dengan saya, beliau bertanya kepada saya; “Weh, kau perasan tak ada orang lalu kat belakang tu?”. Waktu itu, beliau menunjuk di kawasan buluh berdekatan khemah kami tinggal. Lalu saya katakan pada beliau; “Bro, buat rileks je bro. Aku rasa jugak. Tapi buat rileks je”. Pada ketika itu saya nampak sesuatu yang besar melintas. Tapi untuk tidak menakutkan orang lain, saya hanya mendiamkan diri. Saya berpegang dengan prinsip kalau kita tak kacau dia, dia takkan kacau kita.

Peristiwa 3


Ini berlaku ketika kami meneruskan usaha untuk menawan puncak Nuang. Di satu bahagian pokok yang besar. Saya dapat rasakan suatu yang pelik pada bahagian pokok tersebut. Lalu saya berpesan pada seorang peserta wanita di belakang saya (tak ingat siapa); “Jaga-jaga, kat pokok ni bahaya”. Mungkin beliau ingat maksud ‘bahaya’ itu kerana curam atau licin. Jadi saya biarkanlah beliau beranggapan seperti itu. Walhal bahaya maksud saya adalah di celah-celah bahagian pokok itu adalah tempat ‘sorok’ orang atau mungkin tempat makhluk halus tu sendiri. Saya pernah lihat keadaan yang sama pada sebatang pokok besar, seorang budak di sorok oleh bunian. Wallahu a’lam.

[Peringatan]

Saya berpesan pada sahabat-sahabat agar tidak menyuluh atas pokok kerana kalau tersuluh ‘makhluk’ itu, buruk padahnya kalau kita lemah semangat. Kerana pernah satu ketika ketika saya mengikuti kem bomba masuk ke hutan di Kelantan, seorang rakan saya telah tersuluh sebuah pokok. Waktu itu dia sedang menemani seorang rakan yang hendak buang air di tandas. Tandas dan khemah tidak jauh sangat. Tapi sedikit tersorok. Apabila tersuluh di atas pokok, rakan tadi menjerit kerana ternampak ‘sesuatu’ lalu terus meninggalkan seorang lagi rakan yang sedang mengqada’ hajat itu tadi.

Jangan cakap sembarangan juga di dalam hutan. Itu adab namanya. Kita datang tempat orang, tapi kita nak cakap pasal tempat itu or cakap yang tidak sepatutnya. Saya akui ketika di dalam hutan, perwatakan saya masih lagi seperti biasa iaitu seorang yang kuat bercakap. Namun, saya tidak sekali-kali bercakap yang berkaitan dengan ‘hutan’ dan ‘penghuni’nya. Kerana itu yang telah diajarkan oleh guru saya kepada saya.

Bawalah Al-Quran sekali masuk hutan. Paling kurang pun surah-surah pilihan ke, sekadar bekalan untuk mnghadapi sesuatu yang tidak diingini. Wallahu a’alam

1 comment:

  1. Alhamdulillah, selamat semuanya ya akhi. Ada banyak pengajaran daripadanya. Ana pun turut insaf.

    ReplyDelete