Thursday, May 27, 2010

KISAH MERAH DAN HITAM....



Kisah ini tidak dapat dipastikan akan kebenaran jalan ceritanya. Namun, bagi si penulis, ada baiknya kisah ini dipaparkan buat tatapan pembaca sekalian. Mungkin membosankan dan mungkin juga membantu memperoleh hikmah. Boleh jadi ia sekadar cerpen. Almaklumlah penulis memang suka berimaginasi. Tanpa melengahkan masa, tatapilah sekiranya sudi.

Difahamkan kisah ini berkaitan seorang pemuda yang digelar Merah (M). Kisah si M yang menaruh hati terhadap seorang perempuan yang bergelar Hitam (H). M dan H merupakan kenalan sejak di bangku sekolah lagi. Mereka bersekolah di sekolah beraliran agama. Ketika di alam persekolahan, mereka tidak pernah dikaitkan dalam apa-apa gosip. Mungkin kerana M 'sibuk' dengan peranannya sebagai pembuat kacau di sekolah. Manakala H pula seorang muslimah yang sangat baik, rajin dan proaktif.

M mempunyai satu sikap yang kurang disenangi oleh pelajar perempuan di sekolahnya. Sikapnya yang suka menyusahkan orang lain itu menjadi buah mulut pelajar perempuan di sekolah. Namun, dari sudut pelajar lelaki, sikapnya yang menyusahkan itu tidak membawa kesan apa-apa kerana di sekeliling M lagi ramai golongan yang suka menyusahkan orang. Tidak kurang juga golongan yang membosankan. Sebab itu, dalam ranking pelajar lelaki bermasalah di sekolah, M bukanlah paling top. Tapi di kalangan pelajar perempuan, M sangat menjadi bahan gosip mereka. Kerana apa? Maafkan penulis kerana tugas penulis hanyalah bercerita. Maklumat punca itu tidak termasuk dalam database yang penulis perolehi daripada sumber asal.

Hendak dijadikan cerita, H walaupun seorang pelajar perempuan yang baik, turut terlibat dalam perbualan mengenai M. Sebut sahaja nama M, semua pelajar perempuan termasuk H sendiri kurang menyenanginya. Itulah situasi yang berlaku ketika M dan H di alam persekolahan. Alam persekolahan yang sangat meninggalkan kesan yang mendalam. Buat sesiapa sahaja pasti ada peristiwa-peristiwa yang masih segar di dalam ingatan masing-masing. Ini kisah M dan H.

Satu tahun kemudian, selepas tamatnya zaman persekolahan mereka. M membawa diri ke utara tanah air. Berbekalkan dengan keputusan SPM yang boleh dikira baik, M melanjutkan pengajian di sana. Manakala H pula menyambung pengajian juga berhampiran dengan rumahnya. Barangkali H seorang anak yang manja. Biasalah, H seorang yang baik, cerdas dan proaktif. Mungkin tujuannya menyambung pengajian berhampiran dengan rumahnya agar mudah H menabur bakti kepada ibubapa serta keluarganya.

Seperti biasa, hobi M suka mengganggu orang. Terutama rakan-rakannya yang perempuan. Kerana M mempunyai sikap yang suka mengganggu, jadi diteruskannya walaupun sudah menamatkan alam persekolahan. Diganggunya si Kuning (K), Unggu (U), Pink (P), Kelabu (Ke)dan warna-warna yang lain. Habis diganggu semua-semua mereka itu. Namun, kerana kematangan mereka. Akhirnya M tidak lagi dilayan oleh mereka. Akhirnya sikap itu sedikit sebanyak terbantut. Jadi M tidak lagi mengganggu rakan-rakan sekolahnya lagi.
Diburunya sasaran yang baru.

Rupanya sasaran yang baru juga begitu. Tidak menggemari sikap M si kaki pengganggu itu. Namun, tergerak di hati M untuk kembali mengganggu rakan sekolahnya. Dan kebetulan mangsa ketika itu adalah H. Maka diganggunya H. Niatnya sekadar mahu menyakitkan hati H semata-mata. Namun H ini seorang yang berjiwa tabah, kebal dan sukar digugat. Ganggu punya ganggu akhirnya M yang menyerah kalah. Buat pertama kali M merasakan bosannya ganggu orang. Akhirnya M mengambil peluang untuk berbaik dengan H. Walaupun separuh perasaan M merasakan H pasti tidak akan berbaik dengannya.

Takdir untuk menjadikan cerita ini lebih menarik. M semakin hari semakin senang dengan H. Pada mulanya M merasakan dirinya bukan layak untuk menjadi kawan baik H. Akhirnya, mereka sah menjadi kawan baik. Hanya sekadar kawan. (Ingin penulis ingatkan kisah ini kisah M menaruh perasaan pada H dan bukannya kisah percintaan).

M yang sebelum ini sangat anti-perempuan dan sukar berbaik dengan perempuan akhirnya berbaik dengan H. (Walaupun penulis banyak kali menulis perkataan 'akhirnya' tapi masih belum akhir. Ini adalah teknik penulisan si penulis). Dalam diam rupanya M juga menaruh hati terhadap H. Mungkin H juga begitu. (Tapi mungkin sahaja. Teruskan membaca. Pembaca dinasihatkan menghabiskan pembacaan sebelum membuat kesimpulan).

M mengambil jalan singkat tanpa berfikir panjang. M meluahkan rasa kasihnya itu kepada H. Namun, H seorang perempuan yang solehah. Dia begitu menjaga peribadi dan akhlaknya. Apabila H sedar dirinya telah menyebabkan si M terganggu dan menaruh kasih padanya. Maka dikatakan H kepada M agar hubungan kawan baik itu dihentikan seketika. Kerana bagi H, dia mempunyai pronsip diri sebagai seorang muslimah. Tidak akan sesekali dia menjebakkan diri di dalam cinta terlarang sebelum pernikahan. Dan tidak juga dia menginginkan jiwa seorang lelaki seperti M meletakkan cinta bukan pada tempatnya. Mencintai perempuan melebihi cinta kepada Maha Pencipta. M akhirnya akur dengan prinsip itu. Tamat

(Begitulah kisah Merah dan Hitam ini. Betapa murninya peribadi H. Sekadar renungan bagi mereka yang memahami mesej tersirat. Penulis memohon maaf kepada M dan H sekiranya berlaku sedikit tokok dan tambah semasa menulis kisah ini. Namun mesejnya tidak lari)

2 comments:

  1. Salam'alaik :)
    Kisah menarik tetapi apakah penghujungnya nanti, harap ada sambungan ya. Waallahua'lam.

    ReplyDelete
  2. nanti la saya tny tuan punya badan~

    ReplyDelete