“Engkau kena selalu baca Al-Quran, baru hati tenang. Nak belajar pun mudah faham”,begitulah kata-kata ummi padaku ketika aku menjawab panggilan ummi. Sungguh syahdu suara ummi kudengar. Tatkala aku meletakkan gagang telefon bimbitku, maka mengalir deras air mata membasahi pipiku. Bermain di kotak fikiranku akan kenangan-kenangan lalu ketika menuntut di sebuah sekolah di sebuah negeri di Pantai Timur beberapa tahun yang lalu. Tatkala itu juga aku teringat kenangan ketika mengikuti Kelas Tahfiz di sekolah tersebut.
***************
“Mu nih telo...ngaji molek sikit gak...mu tau dok doso kalo ngaji tak betul?”,teguran Ustaz Abdul Baari yang benar-benar mengguris hati tatkala aku membaca Al-Quran dengan baris serta sebutan yang salah. Sudah menjadi kebiasaan bagiku serta sahabat-sahabatku yang lain akan ditegur ‘direct’ oleh ustaz yang kami kagumi itu. Beliau merupakan salah seorang juri hakim bagi setiap pertandingan Hafazan Al-Quran peringkat Kelantan. Wajah beliau yang tenang itu sememangnya akan menyejukkan mata-mata yang memandang. Namun begitu, tiada alasan untuk beliau berlembut sekiranya anak muridnya salah membaca Al-Quran ketika sesi Tasmi’.
Aku segera pulang ke asrama selepas jam menunjukkan tepat jam 10 malam. Kelas Tahfizku diadakan pada setiap hari Isnin dan Rabu bermula jam 8 malam sehingga jam 10 malam. Aku dan sahabat-sahabat yang lain solat Isyak berjemaah di Musolla Islah selepas pulang ke asrama. Hari ini sudah genap 3 kali sahabat karibku, Zuhair tidak menghadiri kelas tahfiz. Aku terus ke tempat biasa Zuhair mengulangkaji pelajaran. Aku sudah masak dengan perangai Zuhair. Kalau dia rasa nak ‘tuang’ kelas, pasti ‘port study’nya tidak lain tidak bukan di Musolla Islah.
“Weh,Zuhair...kenapa kau ponteng harini? Ustaz tanya pasal kau lagi la”,
“Habis kau jawab apa?”,
“Aku jawab macam biasa...PONTENG!”, ayat perliku khas buat Zuhair.
“Ceh, kau sengaja je nak kenakan aku”,
“La, dah kau memang ponteng, takkan nak kata kau sakit pulak,haha”,
Zuhair menjebikkan bibir kepadaku. Marah agaknya. Aku memang suka mengusik Zuhair.Kami saling kata-mengata antara satu sama lain. Tapi perang mulut kami itu hanya sekadar suka-suka sebagai sahabat karib. Dia juga pelajar yangmerantau sepertiku. Asalnya dari Shah Alam. Kelebihan yang terdapat padanya sehingga membuatkan aku berasa senang bersahabat dengannya adalah sifatnya yang kreatif. Memang kreatif budak Zuhair yang rendah itu.
Alasan Zuhair tidak hadir ke kelas hari ini adalah kerana tidak sempat menghafaz hafazan yang baru. Sudah sedia maklum bagi kami pelajar-pelajar Ustaz Baari, untuk tasmi’ dengan beliau perlu mengulang sekurang-kurangnya separuh juzu’ hafazan yang lama serta satu muka hafazan baru. Itu syarat minima bagi kami. Tapi bagi pelajar hebat seperti Imran,Shakir, Ammar dan Khairul, mereka pasti membaca 2 muka hafazan baru bahkan kadang-kala lebih. Itulah kelebihan mereka yang jiwa bersih tidak sepertiku dan Zuhair. Tapi aku tetap bersyukur kerana Allah masih memberiku peluang untuk menghafaz Al-Quran. Dan aku bertekad akan cuba sedaya-upaya untuk menghabiskan hafaz Al-Quran. Insya-ALLAH.
***************
“Weh, koya ko?”, sapaan Hadi kepadaku ketika dia masuk ke dalam bilik. Kami adalah rakan sebilik di Kolej Kediaman Dato’ Onn,Universiti Kebangsaan Malaysia. Hadi seorang sahabat yang baik. Berasal dari Kelantan, negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Oleh sebab, aku juga pernah menuntut di Kelantan, jadi mudahlah bagiku untuk berinteraksi dengannya dalam loghat Kelantan itu sendiri. Cara pertuturan aku tidak ubah seperti orang Kelantan. Sehinggakan ada sahabatku,Iwan ketika sekolah menengah menyangkakan aku juga berasal dari Kelantan. Aku suka sekolah berasrama. Tambah-tambah lagi di Kelantan.
Ummi dan abah sememangnya menggalakkanku agar belajar berdikari agar mudah di hari mendatang. Benar didikan ummi dan abah itu. Aku kini tiada masalah untuk melanjutkan pelajaran di negeri lain. Cuma rezeki untuk melanjutkan pengajian ke luar negara belum ada lagi. Hajat di hati ada, tapi tunggu peluang akan datang, Insya-ALLAH.
“Dok eh..”, jawapanku bersahaja buat Hadi. Sahabat mana yang tidak ambil peduli akan sahabat lain. Hadi memang peramah. Dialah tempat untuk aku berkongsi suka dan duka kini. Hadi sukarela menawarkan diri mahu menjadi pendengar setia sekiranya aku menghadapi sebarang masalah. Aku akui sifatnya yang lapang dada itu. Kerana pernah sekali aku bercerita tentang masalah hati yang aku hadapi ketika menuntut di sebuah kolej matrikulasi dahulu,dia dengar dengan khusyuk tanpa menunjukkan kebosanan mendengar kisah aku itu. Masalah cinta. Memang biasa berlaku bagi remaja sepertiku. Alhamdulillah, ALLAH masih memeliharaku agar tidak terjebak dalam sindrom yang tidak sihat itu. Cinta terlarang.
Bukan niatku untuk menafikan cinta itu. Tapi bukanlah sekarang masanya bagiku insan yang masih mentah ini untuk bercakap hal cinta. Cinta itu fitrah. Dan fitrah boleh jadi fitnah sekiranya tidak pada tempat yang betul. Hadi menenangkanku dan memberikanku kata-kata semangat agar aku tidak terlalu memikirkan hal itu lagi. “Terima kasih Hadi”, aku bermonolog selepas dinasihatinya ketika itu.
Hadi dulu bersekolah di sebuah sekolah yang popular di Selangor. Walaupun berasal dari Kelantan, tapi melanjutkan pelajaran ke bumi Selangor.Terbalik dengan aku. Barangkali sebut KISAS, pasti semua rakyat Malaysia pernah mendengar nama sekolah itu. Gah dengan keputusan SPM,STAM dan STPM-nya setiap tahun. Nama panjang KISAS ialah Kolej Islam Sultan Alam Shah, di Klang. Hadi adalah contoh produk KISAS yang menonjol di institusi pengajianku sekarang. Dia sering memimpin kami menjadi Imam di surau Iman di hostel kami.
Namun sejak kebelakangan ini, aku seringkali menyibukkan diri dengan hal-hal duniawi. Aku sangat aktif dengan program Kelab Penyayang yang telah beberapa sem aku ikuti sebagai ahli. Tapi kini aku sudah menjadi Exco Kegiatan Luar. Jawatan telah menjebakkan aku dengan kesibukan hal-hal dunia sehingga tiada masa untuk aku solat berjemaah di surau Iman. Hadi mula menggeleng-gelengkan kepala melihat aku yang seringkali pulang lewat ke bilik. Dan setiap minggu pasti aku tidak berada di hostel kerana kepadatan program yang kuikuti anjuran Kelab Penyayang itu.
“Habis, mu wat gapo tadi?...duk menung jah!...”, tanya Hadi semula.
Berkaca-kaca mataku ketika Hadi bertanyakan soklan itu kepadaku. Baru sebentar tadi air mataku mengering. Kini seolah-olah mahu mengalir buat kali kedua.
“Aku tensionla.......”
[Bersambung..........]
No comments:
Post a Comment