Friday, March 27, 2009

Betul kata UMMI...(siri 2)

“tension bakpo pulok ni?...acu oyak sket...kot-kot aku boleh tolong ko?”, kata Hadi penuh pengharapan agar aku tidak pendamkan masalah itu keseorangan.

Begitulah sahabat sejati. Bila senang dia di sisi, bila susah juga dia di sisi.Aku kebingungan seketika. Bagaimana dan di mana mahu aku mulakan. Hadi begitu bersungguh untuk membantuku. Aku sangat bersyukur mempunyai sahabat sepertinya.

“Ni masalah peribadi la...aku kecewa dengan diri aku ni la”, itulah kata-kata yang terbit daripada lidahku. Agak kelu seketika untuk berkata. Mataku turut bertindakbalas. Mula berkaca. Sudah lama juga aku tidak mengalirkan air mata. Sejak sem yang lepas, ketika aku meluahkan masalah cinta aku pada Hadi. Aku kira dalam 7 bulan juga. Bukanlah kemestian untuk mengalirkan air mata itu. Tapi inilah fitrah manusia yang berjiwa lembut sepertiku. Tambah pula dengan mengalirnya air mata itu jugalah pasti akan jatuh tersungkurnya ego dan kebongkakan kita sebagai hamba terhadap Yang Maha Esa.

“Oyak la, aku sanggup dengar......”, Hadi mula memujuk.
“Aku telah membuat kesilapan yang besar...aku telah mengkhianati janji-janji aku”,
Hadi mendengar dengan tenang. Tanpa reaksi yang terkejut atau terburu-buru untuk mendengar habis ayatku. Dia hanya mendengar tanpa kata walaupun sepatah. Aku memulakan ceritaku berkenaan pengalaman hidupku. Barangkali akan menyentuh hati-hati yang jiwanya yang lembut sepertiku. Sungguh syahdu jalan yang ku lalui ini. Menyedihkan hati.

***************

Aku dahulunya bersekolah di sebuah sekolah kebangsaan di negeri asalku, Selangor. Juga mengikuti kelas Fardhu Ain di sebelah petangnya. Memang sejak kecil lagi ummi dan abah mendidikku dengan didikan agama. Walaupun ummi dan abah bukanlah daripada jurusan agama. Namun, mereka amatlah mengharapkan anak-anak mereka menjadi soleh dan solehah.

Mungkin ujian ALLAH kepada ummi dan abah. Aku seringkali membuat masalah disiplin di sekolah. Baik di sekolah kebangsaan mahupun di sekolah Fardhu Ain. Seingat aku, adalah dalam 2 atau 3 kali juga ummi dan abah djemput untuk berjumpa dengan pengetua sekolah Fardhu Ain kerana masalah disiplin yang telah aku lakukan. Ketika itu aku darjah 6. Aku telah memukul 2 orang budak yang belajar di sekolah itu juga. Pelajar darjah 4 dan pelajar darjah 5. Ketika itu aku sangat baran. Pantang dicabar oleh sesiapa saja tambah-tambah cabaran daripada pelajar yang lagi muda dariku.

Ummi dan abah sangat sedih kerana aku paling kerap mendatangkan masalah kepada mereka. Namun, kesabaran terhadapku selaku anak ketiga daripada lima orang anak masih terpancar pada wajah ummi dan abah walaupun mereka cuba menyembunyikannya. Adik beradikku 2 lelaki,3 perempuan. Pertama dan kedua kakak. Aku dan adik selepasku lelaki manakala bongsu pula perempuan. Ketika pulang ke rumah, ummi dan abah tidak putus-putus menasihatiku. Walaupun syahdu mendengar nasihat mereka, namun mungkin kerana jiwa baranku ketika itu, ku buat tak endah sahaja nasihat itu.

Tibanya kami di perkarangan rumah. Aku bergegas keluar daripada kereta Honda Civic hitam milik abah itu dan terus lari masuk ke dalam rumah. Lalu aku berkurung di dalam bilik. Mungkin kerana terlalu memikirkan teguran ibubapaku yang beraneka macam itu tadi. Aku terus merebahkan diri ke atas katil. Di dalam bilikku itu ada dua katil. Milikku dan milik adik lelakiku, Azhar berumur 3 tahun lagi muda dariku.

Selang beberapa minit, kudengari pintu bilikku dibuka. Seperti yang sudah kuagak. Ummi masuk ke bilikku lalu mendekatiku. Aku menarik muka. Panjang sungguh muncung mulutku ketika itu. Sekiranya diukur, barangkali rekod Malaysia mulut bermuncung panjang pasti menjadi milikku ketika itu. Panjang sikit dari kebiasaan tetapi lagi pendek dari keluarbiasaan. Tapi rekod itu tidak wujud sama sekali.

“Mus, jangan buat muka macam ni. Ummi dengan abah tegur Mus tadi supaya Mus berubah. Mus kena sedar, Mus anak sulung lelaki keluarga kita. Mus kena jadi anak yang soleh”, pujuk ummi ku yang berwajah redup itu.
“Mus marahkan ummi dan abah lagi ker?”, tanya Ummi lagi.
“Tak.........”, jawabku ringkas.
“Begini Mus. Ibubapa mana yang tidak sayangkan anak?. Ummi dan abah buat macam ni agar Mus berubah. Ummi tahu, mungkin teguran abah tadi agak tegas. Tapi jangan la kerana itu Mus terus merajuk. Sampai bila Mus? Kamu dah la nak periksa UPSR tak lama lagi. Belajarlah. Jangan asyik bermain saja. Mus taknak ke berjaya macam kak long dan kak ngah? Mereka dah masuk sekolah asrama dah”,
“Biarlah kak long dan kak ngah tu....Diorang pandai, Mus tak. Selalu bawa masalah pada ummi dan abah”, ku terasa rendah diri bila ummi memuji kak long dan kak ngah.

Mereka kini berada di Sekolah Agama Bestari di Subang. Sekolah tersebut memang bagus di seluruh Selangor. Sekolah terbaik JAIS. Jauh di sudut hatiku mahu juga melanjutkan pelajaran di sana. Tapi pelajaranku yang tidak stabil ini barangkali hanya mimpi di siang hari. Kedudukan 7 tempat terakhir di dalam kelas sudah menjadi kewajipan ianya milikku.

“Tak mengapa Mus. Yang penting Mus kena usaha. Ummi dan abah selalu mendoakan kejayaan Mus,” kata-kata ummi jelas menampakkan keikhlasan beliau. Jiwa baranku kalah dek kasih sayang seorang ibu. Aku mengalirkan air mata. Lalu ummi memelukku. Bergetar tubuh badanku kerana merasakan kehebatan kasih sayang seorang ibu. Dalam hati aku berkata, “maafkan Mus ummi. Mus sayang ummi dan abah”.

***************

Hari ini adalah hari pertama pendaftaranku di Sekolah Maahad Muhammadi Lelaki di Kota Bharu. Tidak pernah walaupun sekali aku bayangkan aku akan bersekolah di Negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Sangat jauh jika dibandingkan dengan sekolah kak long dan kak ngah. Takdir ALLAH telah menempatkan aku untuk berada di sini. Selepas keputusan UPSR diumumkan, maka segala-galanya berlaku. Aku memperoleh keputusan 4A 1C. C ialah subjek Bahasa Inggeris. Mungkin kerana kurang pembacaan dan minat terhadap matapelajaran tersebut menyebabkan aku mendapat hanya sekadar C untuk itu. Namun aku tetap menadah tangan bersyukur ke Hadrat Yang Maha Esa.

Perasaan hangat dan semangat untuk melanjutkan pelajaran di Maahad ini bermula selepas keputusan UPSR diumumkan. Sohornya nama Maahad ini di sekitar kawasan rumah aku disebabkan perubahan mendadak sikap Abang Wan, jiran rumahku. Beliau dahulunya sangat terkenal dengan kenakalannya. Mungkin lagi teruk nakalnya dariku. Namun, setelah menuntut di Maahad, beliau kembali seperti perwatakan orang lain. Beliau sering menjadi imam dan kadangkala bilal di surau Al-Rasyidin kariahku. Sangat besar perubahan yang berlaku kepadanya menyebabkan aku turut berminat untuk mendapat didikan dari Maahad itu.

Lantas aku menyatakan hasratku mahu melanjutkan pelajaranke ke Maahad Muhammadi Lelaki kepada ummi dan abah. Ummi pada mulanya agak berat untuk membenarkan. Tapi abah dengan fikiran yang matang telah memujuk ummi agar merelakan perantauan ku itu. Tambahan pula, abah sememangnya yang berasal dari Pahang itu mempunyai ramai kenalan di Kelantan. Bahkan dua pupunya juga orang Kelantan. Dua pupu abah bererti tiga pupuku. Walaupun aku tidak tahu samada istilah tiga pupu itu wujud atau tidak dalam kamus Bahasa Melayu.

Di Maahad Muhammadi lah aku ditarbiyah secara serius. Aku didedahkan dengan pelbagai ilmu agama. Bukanlah bererti mempelajari banyak agama, tetapi ianya bererti aku mempelajari cabang-cabang ilmu agama Islam yang sebenarnya luas. Aku semakin menyukai corak pembelajaranku di sana. Ilmu bahasa Arabku yang pernah kupelajari di sekolah Fardhu Ain dahulu semakin meningkat kerana Maahad Muhammadi amat menekankan pembelajaran dalam bahasa Arab. Hampir 80% matapelajaran dalam bahasa Arab.

Selain matapelajaran yang sebahagian besarnya dalam Bahasa Arab, aku juga mengikuti kelas Tahfiz yang turut ada di sana. Merasa juga aku seolah-olah berada seperti di sekolah tahfiz. Makan dan minum aku ketika itu benar-benar terjaga. Rahmat ALLAH Taala telah menakdirkan aku menjadi anak murid Ustaz Abdul Baari. Beliau sangat berkebolehan. Selain menjadi Guru tahfiz, beliau juga seorang “Doktor PC”. Sangat berpengalaman dalam pembaikian komputer baik dari segi “Hardware” mahupun “Software”.

Alhamdulillah sepanjang aku berada di Maahad Muhammadi, ku dapat rasakan ilmu aku mula bertambah. Aku didedahkan dengan kepelbagaian ilmu Fiqh, Tauhid, Balaghah, Nahu Soraf dan lain-lain. Aku juga berkenalan dengan senior-senior yang mempunyai banyak kisah silam di sebalik peribadi mereka yang tampak soleh dan wara’ itu. Aku teringat akan kisah seorang seniorku bernama Muhammad Fadhil B. Hasanuddin. Seorang ketua Umum yang sangat dihormati oleh teman-teman hatta pelajar Maahad yang agak liar sekalipun. Kerana keperibadian yang dipamerkan menyebabkan pelajar lain mudah ikut serta tunduk arahan beliau selaku seorang pemimpin.

Setelah 5 tahun belajar di Maahad Muhammadi, kurasakan seolah-olah masa berlalu begitu pantas. Pejam-celik, pejam-celik sudah tamat proses pembelajaranku di sana. Alhamdulillah keputusan SPM aku membanggakan sebagai seorang pelajar Sains Agama. Target aku ketika itu hanyalah untuk menyambung Persijilan Tahfiz di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu selama setahun setengah. Dan Insya-ALLAH selepas itu akan kulanjutkan pengajian di UIA. Mengambil peluang itu adalah untuk menghabiskan hafazan Al-Quran yang telah kumulakan di Maahad Muhammadi. Tinggal beberapa juzu’ sahaja lagi untuk kuhabiskan. Namun, takdir ALLAH mengatasi segala-galanya. Atas beberapa masalah peribadi, aku terpaksa melupakan keinginanku untuk menyambung pengajian ke Darul Quran. Sangat pilu untukku lupakan Darul Quran dari perancangan hidupku.

[Bersambung.............]

***************

No comments:

Post a Comment