Monday, January 18, 2010

Kurang intelek?....

Penulisan saya kali ini mungkin ada berkaitan dengan Pilihanraya Kampus yang akan berlangsung tidak lama lagi. Namun, mungkin ada Universiti yang sudah melalui proses pilihanraya tersebut. Tahniah dan takziah diucapkan kepada yang terpilih untuk memimpin tampuk pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar. Juga kepada mereka-mereka yang akan bertanding, diharap kalian semua memperbetulkan niat agar sentiasa ikhlas untuk memimpin.

Saya di sini ingin menyentuh soal intelektual Mahasiswa yang kini telah pudar keintelektualannya. Barangkali saya juga tidak intelek. Namun, di atas kesedaran untuk saling memperingati, saya meluahkan juga walaupun tempiasnya akan kembali kepada diri saya sendiri.

Jika dahulu, ketika era kebangkitan Mahasiswa di seluruh dunia, baik di Malaysia, Indonesia dan seluruhnya. Kita dapat merasakan bahawa aura mahasiswa ini benar-benar dapat mempengaruhi keputusan Kabinet. Benarkah?

Dalam hirarki masyarakat, mahasiswa boleh dikategorikan sebagai pengantara di antara rakyat dan pemimpin negara, kanak-kanak dan dewasa. Begitu besar peranan Mahasiswa yang perlu dimainkan bagi membentuk ketamadunan masyarakat. Namun begitu, hirarki itu seolah-olah tiada maknanya kini kerana kebanyakan di kalangan mahasiswa kini meletakkan keintelektualannya di kepala lutut. (Maaf kekasaran dalam penggunaan bahasa)

Masakan tidak, mahasiswa yang seharusnya insan terpelajar sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Mahasiswa kini mengabaikan serta tidak mempedulikan isu semasa sebaliknya pandai berkata belakang untuk mengutuk tanpa bertindak apa-apa. Mahasiswa seolah-olah seperti insan lemah yang hanya tahu merungut walhal hakikat yang sebenarnya, sentuhan mahasiswa ini dapat merubah dunia.

Bekas Perdana Menteri Indonesia sendiri pernah mengakui peranan mahasiswa yang dapat merubah dunia barangkali kita biasa dengar. Menurut kata Bung Karno yang maksudnya lebih kurang seperti ini; "Jika diberikan kepada aku 10 orang pemuda, sudah pasti aku akan dapat menawan dunia"

Pemuda yang dimaksudkan di situ adalah di kalangan Mahasiswa. Tidak berniat untuk membuat perbandingan, tetapi hakikat di Indonesia, masyarakat akan begitu hormat kepada mahasiswa di sana. Golongan mahasiswa di sana diberikan penghormatan dek kerana keintelektualan mereka sebaliknya di tanah air Malaysia kita, golongan mahasiswa ini perlu diberikan perhatian agar tidak membuat kerja-kerja "gila" yang membawa ancaman kepada negara. Masalah keruntuhan akhlak dan moral juga, mahasiswa turut terlibat.

Kita perlu kembali mengkaji sejarah ketika zaman kebangkitan suara mahasiswa di seluruh dunia. DI Malaysia, penggerak suara mahasiswa ketika itu di bawah pengaruh perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada ketika itu beliau memimpin gerakan mahasiswa dalam memperjuangkan isu yang benar-benar memberi impak dan kesedaran kepada pemimpin negara.

Justeru itu, saya menyeru kepada seluruh warga Mahasiswa tidak kira di dalam mahupun di luar Malaysia, agar kita muhasabah diri dan kembalikan kehebatan mahasiswa di kacamata masyarakat.Sesungguhnya, tidak akan ada pusat pendidikan tanpa murid. Dan tidak akan ada universiti tanpa mahasiswa/mahasiswi.

"BERSAMA MENINGKATKAN KEINTELEKTUALAN MAHASISWA. PERKASAKAN PEMBUDAYAAN ILMU!"

No comments:

Post a Comment