Saturday, February 4, 2012

PERNIKAHAN WAJAR DIPERMUDAHKAN



Assalamualaikum.

Mungkin isu sebegini seringkali meniti di bibir perbualan masyarakat umum terutamanya bagi anak muda zaman kini. Ada di antara mereka sebenarnya sudah mencapai tahap layak untuk mendirikan institusi masjid tersebut. Namun, segala keinginan mereka dilarang oleh ibubapa. Mungkin larangan terhadap anak lelaki menggambarkan bahawa mereka sebenarnya belum layak untuk memimpin keluarga. Kerana barangkali ibubapa melihat si anak lelaki mereka masih belum menunjukkan ciri-ciri yang meyakinkan bagi menjadi seorang suami lantas menjadi ketua keluarga.

Namun begitu, larangan ibubapa buat anak perempuan mungkin tidak tepat pada pandangan saya. Kerana sesungguhnya Baginda Nabi Muhammad S.A.W sangat menggalakkan agar para ibubapa mengahwinkan segera anak perempuan mereka. Jika sudah datang kepada mereka seorang lelaki yang diyakini iman dan ilmunya, maka seharusnya dinikahkan sahaja mereka itu. Sebagaimana sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Daripada Abi Hatim Al-Muzanni katanya, telah bersabda Rasulullah SAW: “Apabila datang akan sekalian kamu orang yang kamu sukai agamanya dan perangainya maka nikahkanlah olehmu akan dia jika tidak lakukan nescaya jadi fitnah dibumi dan kebinasaan,” kata mereka itu: “Ya Rasulullah dan jika ada padanya sekalipun?” Sabda Rasulullah SAW: “Apabila datang akan sekalian kamu orang yang kamu sekalian sukai agamanya dan perangainya maka nikahkan akan dia, tiga kali.”

Sebaliknya hal sedemikian tidak berlaku di kalangan masyarakat kita. Ibubapa sering melihat bahawa anak mereka masih kecil dan belum matang untuk mendirikan rumahtangga. Maka, ditegah untuk berkahwin namun dibenarkan untuk berkawan. Namun, hubungan kawan itu lebih cenderung kepada cinta sepasang kekasih. Mereka dibenarkan keluar bersama dengan teman lelakinya untuk ke mana-mana sahaja asalkan mereka memaklumkan terlebih dahulu kepada ibubapa.

Secara tidak sengaja, barangkali bukan perkara yang diingini tetapi ianya tetap berlaku seperti berpegangan tangan, bercengkerama berdua-duaan dan sebagainya. Perkara ini dilihat biasa oleh masyarakat kita padahal hakikat pada sudut agama ianya sudah terang lagi bersuluh suatu maksiat dan berdosa.

Mungkin ibubapa terlepas pandang tentang perkara ini. Saya tidak sama sekali menyalahkan para ibubapa kerana tanggungjawab mendidik ummah terletak di atas bahu seluruh umat Islam. Namun, apa yang ingin saya kongsikan adalah lebih baik jika pernikahan atau perkahwinan dipermudahkan. Hanya dengan mengelakkan pernikahan, ibubapa sanggup membenarkan si anak melakukan maksiat bersama teman yang belum sah hubungannya lagi. Percintaan tanpa sebarang ikatan pernikahan umpama wang kertas yang terbiar. Barangkali ianya bakal dicuri atau ianya akan terbang ditiup angin. Keadaan seperti itu tidak menjaminkan apa-apa bahkan merugikan sahaja. Dicuri di sini adalah suatu yang dibenci yang juga sama seperti perkara dosa. Allah sangat membenci hambaNYA melakukan dosa dan maksiat. Manakala terbang ditiup angin dikiaskan kepada hubungan yang tidak kesampaian akhirnya putus di tengah jalan.

Justeru itu, cadangan saya adalah agar semua pihak meneliti hal ini dengan sedalamnya dan menukar persepsi kita terhadap pernikahan pada usia muda. Pada sudut rezeki dan bagaimana pengurusan kewangan selepas terdirinya pernikahan tersebut, saya kira adalah selayaknya kita menyerahkan urusan tersebut mutlak hanya kepada Allah S.W.T. Kita hanya berusaha, namun Allah jua yang menentukan segalanya. Kerana sifat Maha Pemberi Rezeki itu, maka Allah berhak memberikan rezeki dan nikmatNya pada seluruh umat manusia. Insya-Allah.

Catatan akhir : Peliharalah diri kalian daripada tergolong dalam golongan dayus yang membiarkan wanita-wanitamu (anak perempuan atau isteri) keluar berdua-duaan bersama lelaki yang bukan mahram. Tidak akan masuk syurga lelaki yang dayus (Al-hadis, boleh rujuk hadis riwayat Ahmad dan statusnya Shohih)

No comments:

Post a Comment